KENALI PENTERJEMAH ISLAM PERTAMA, SAIDINA ZAID BIN TSABIT (612-637H)

167
SHARES
540
VIEWS

Saidina Zaid bin Tsabit pada awalnya kecewa apabila tidak terpilih untuk menyertai peperangan Badar atas faktor usia beliau terlalu muda, iaitu belum mencecah 15 tahun.  Kecintaan beliau kepada Rasulullah SAW yang terlalu tinggi menyebabkan beliau sangat berharap untuk dapat berkhidmat kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Namun beliau tidak mati akal, sebaliknya terus berusaha menguasai bidang lain sebagai ikhtiar untuk memenuhi impiannya. Beliau akhirnya memutuskan untuk mendalami dan menceburi bidang ilmu dan hafazan al-Quran kerana bidang itu tiada had usia.  Beliau berharap itulah peluangnya untuk mendampingi Rasulullah SAW dengan kelebihan ilmu dan kecerdasan akal yang dimilikinya. 

Berita mengenai kepintaran dan kecerdasan Zaid bin Tsabit yang telah menghafaz 17 juz al-Quran, serta pandai membaca dan menulis itu akhirnya sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW. Bagindapun memerhatikan Zaid bin Tsabit dan meminta Zaid memperdengarkan hafazannya. Rasulullah SAW sangat tertarik mendengar kefasihan dan kelancaran sebutan Zaid yang sangat baik. Ayat-ayat Allah dilafazkan dengan nada dan irama yang menusuk kalbu, tempat waqaf dan ibtida’ dilakukan bersesuaian dengan makna ayat. Semua itu tidak mampu dilakukan jika seseorang itu tidak cerdas akalnya dan tidak pula menjiwai apa yang dibaca.

Kegembiraan Rasulullah SAW sewaktu melihat kecerdasan akal Zaid mengatasi rasa gembira baginda semasa menyaksikan keberanian Zaid yang masih remaja namun bersemangat untuk turut serta dalam medan perang. Sesuatu yang di luar kebiasaan. Nabi SAW gembira memandangkan keperluan yang sangat tinggi kepada orang-orang Islam untuk mendalami ilmu, sedangkan pada saat itu terlalu ramai umat Islam yang masih tidak mampu membaca dan menulis dengan baik.  Hal ini bermakna, jihad ke jalan Allah SWT dan berbakti kepada Rasulullah SAW tidak terhenti kepada jihad dalam medan perang sahaja, bahkan mengandungi maksud yang sangat luas mencakupi pelbagai bidang dan aspek bersesuaian dengan kemampuan serta potensi diri kita.

Nabi Muhammad SAW kemudiannya menyarankan kepada Zaid bin Tsabit agar belajar cara menulis dan bercakap orang Yahudi. Rasulullah SAW mahu mendapatkan khidmat seorang penterjemah untuk memudahkan interaksi baginda dengan pihak asing dan juga bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya sebarang penipuan  ketika berurusan dengan mereka. Zaid lantas bersetuju dengan permintaan Rasulullah SAW itu lalu bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Ibrani.

Lantaran kecerdikan akal yang dimiliki olehnya, beliau mampu menguasai bahasa Yahudi tersebut dalam tempoh sekitar 1 bulan setengah sahaja. Selepas itu Zaid telah dilantik menjadi jurubahasa dan jurutulis Nabi Muhammad SAW setiap kali berurusan dengan orang Yahudi. Seterusnya baginda meminta Zaid bin Tsabit untuk mempelajari pula bahasa ahli kitab, iaitu bahasa Suryaniyyah/Syam.

Akhirnya Zaid bin Thabit,  seorang anak remaja yang terkenal sangat cerdas akalnya serta memiliki kemahiran lingual yang tinggi menjadi penterjemah pertama bahasa Ibriyyah dan Suryaniyyah yang sangat berjasa kepada Nabi Muhammad SAW khususnya dan umat Islam umumnya. 

Sesungguhnya jalan untuk berbakti kepada ummah, agama dan  negara itu sentiasa terbuka luas dan fleksibel, tinggal kita sahaja sama ada mahu merebut peluang tersebut ataupun tidak. Dalam hal ini Zaid bin Tsabit telah berjaya membuktikan bahawa bidang penterjemahan juga merupakan antara bidang yang sangat penting untuk perkembangan dan penyebaran dakwah Islam.

Oleh Dr. Ustazah Muazah Abu Samah

(Penulis merupakan Pensyarah Bahasa Arab di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg Petani, Kedah)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts