PERANAN PUTRA SELEPAS PERJANJIAN DWI PARTI DIMETERAI

380
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

14 September 2021

1.Ada media bertanya pada saya sebagai Presiden PUTRA apa pandangan dan pendirian PUTRA mengenai kerjasama yang dimeterai sebagai “MOU PH DAN KERAJAAN KELUARGA 69 MALAYSIA”?

Jawapan saya, PUTRA mengajak seluruh pimpinan PUTRA agar mempertingkatkan daya juang yang lebih kental, cekal dan berani menegur serta bersuara lantang bagi mengisi peranan semak dan imbang setelah Pakatan Harapan iaitu pembangkang dan Kerajaan Keluarga Malaysia 69 memeterai Perjanjian Persefahaman dalam bentuk kerjasama Dwi-Partisan atau persefahaman politik parti-parti dominan dalam sebuah pemerintahan.

Dalam politik, serba kemungkinan boleh berlaku. Baik dan bergaduh sudah lumrah kerana masing-masing berhasrat mencari laba dan untung. Politik kini sudah lebih kepada kepentingan masing-masing dan kepentingan rakyat dan negara sekadar retorik sahaja. Sama-sama tunggu dan lihat.

2. Kerjasama dwi-partisan membawa pengertian Pakatan Harapan yang mengetuai kumpulan pembangkang dan Keluarga Malaysia 69 sebagai kerajaan kini sudah boleh tidur sebilik walaupun katil lain-lain. Ibarat bertunang, maka pasti ada rasa kasih sayang dan malu alah.

Satu pihak sudah boleh tidur nyenyak dan tidak ada yang akan menolaknya daripada katil. Malah turut dibantu untuk menghalau nyamuk-nyamuk yang menganggu kerana sudah menjadi rakan yang saling berkongsi bilik. Satu pihak lagi juga merasa selesa sedikit walaupun katil tanpa tilam tetapi sudah merasai bilik sejuk ada penghawa dingin. Suhu panas semakin menurun.

3. Cabaran Covid-19 dan situasi ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang tenat menjadi hantaran tanda ikatan kedua belah pihak. Namun, di sebalik bulan madu bakal diraikan, ia tidak bermakna akan menghasilkan madu untuk rakyat. Sejarah dan pengalaman sebelum ini menjadi petunjuk.

Jika tidak ada yang memantau dengan tegas dan lantang maka mungkin ada lebah-lebah yang mandul dan tidak mampu menghasilkan madu tetapi lebah-lebah ini berada dalam sarang yang amat selesa serta menerima imbuhan yang tidak setimpal dengan hasil kerjanya.

4. Maka jika PUTRA lantang dalam memenuhi peranan menjolok sarang lebah yang tidak mengeluarkan madu, ia tidak boleh menuduh PUTRA tidak menghormati usaha kepada membasmi ancaman Covid-19 dan memulihkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Sering kali persepsi buruk akan dilemparkan kepada pihak yang benar, walaupun mereka hanya berkata perkara yang benar.

Seiring dengan komitmen dan matlamat untuk membasmi Covid-19 dan demi kepentingan rakyat maka wajib ada kuasa ke-3 yang tidak terikat dengan mana-mana pihak agar memainkan peranan bukan sahaja memantau tetapi menegur, mengkritik,
mengecam dan menyanggah atas apa jua isu-isu jika didapati penyelewengan, pembaziran, rasuah, salah guna kuasa serta tidak ada ketelusan dan tanggungjawab tidak sepadan dengan imbuhan yang diterima malah perangai tidak bermoral dan kerenah-kerenah yang menjijikkan rakyat terus berlaku. Dasar dan retorik bunyinya indah dan sedap didengar, namun ia berterusan ibarat ayam berkokok hari tidak siang.

5. PUTRA berharap rakyat turut memberi dokongan dan sokongan kepada PUTRA sebagai kuasa ketiga kerana kelangsungan kelantangan perjuangan demi Islam, Melayu peribumi tidak terus tenggelam dalam angan-angan politik ‘Mat Jenin’ serta tidak mengambil mudah lagi kepada setiap perkara kerana adakala Perlembagaan dilanggar, dasar-dasar nasional dipijak-pijak dan pelaksanaan haru-biru ibarat kata indah khabar dari rupa.

Ingatlah pengajaran sejarah bila pemimpin tidak bersih, tidak bermoral dan mengejar dunia buatlah apa sahaja, rakyat terus derita dan negara sengsara. Kelangsungan perjuangan menegakkan kebenaran, keadilan dan memperkasakan hak semua rakyat mengikut Perlembagaan akan terus digempur tanpa mengira keadaan dan situasi. Namun sifat istiqamah tetap menjadi pegangan dan pedoman serta lafaz membujur lalu melintang patah.

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts