IKTIBAR CUKAI LHDN NAJIB: KES PEMALSUAN BAGI MAKSUD MENIPU

250
SHARES
806
VIEWS

Sebelum ini jelas wujud cubaan penganiayaan ke atas bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak apabila cukai berganda dikenakan ke atasnya terhadap dana yang tidak boleh dicukaikan. Tindakan ini jelas satu bentuk penganiayaan, intimidasi dan gangguan berterusan terhadapnya yang diarahkan oleh ahli politik tertentu yang ketika ini masih dirahsiakan identitinya.

Sebagai bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib sewajarnya diberi layanan sama rata seperti bekas Perdana Menteri yang lain namun sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, Najib bukan sahaja dimalukan malah beliau juga didakwa dengan pelbagai tuduhan walaupun telah mengemukakan bukti secukupnya termasuk identiti pemberi dana. Namun semuanya seolah-olah diabaikan demi dendam kesumat semata-mata dan episod ‘witch-hunt‘ yang masih berterusan hatta Perdana Menteri Pakatan Harapan telah digantikan.

Di zaman Perikatan Nasional, intimidasi berterusan dan penyalahgunaan kuasa tetap diteruskan untuk mengenakan dan menganiaya beliau termasuk melalui individu tertentu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Rujuk pautan artikel bertajuk, “LHDN dijadikan alat menganiaya Najib?” di pautan; https://editormalaysia.com/24097/

Di bawah Perikatan Nasional, rakyat berharap dan menjangkakan mereka akan membatalkan sebarang cubaan salah guna kuasa dan juga penindasan terhadap seteru politik yang jelas berat sebelah apabila ada yang sepatutnya menjadi “Kluster Mahkamah” tetapi sebaliknya dilantik menjadi menteri kabinet. Selain itu, rakyat terus hilang kepercayaan terhadap mereka apabila isu Tabung Haji dan pembunuhan arwah Muhammad Adib juga gagal diselesaikan sebaliknya sehingga kini ia masih tidak mampu dibetulkan.

Justeru kes penganiayaan bekas Perdana Menteri ini wajar menjadi iktibar untuk semua bagaimana reformasi politik dan pentadbiran kerajaan perlu diperkasakan agar tiada lagi arahan ahli politik tertentu demi untuk menghancurkan karier politik mana-mana pemimpin, apatah lagi bekas Perdana Menteri yang sepatutnya dihormati. 

Jika mahu kesaksamaan dan kesamarataan, apa kata pihak berkuasa siasat pula dakwaan bekas Menteri Pengajian Tinggi YB Dr. Maszlee Malik yang diminta oleh Tun Mahathir untuk melepaskan jawatannya kerana Tan Sri Mahiaddin Yassin marah kepada beliau dalam isu iBestariNet – yang dimuatkannya dalam buku beliau “Memori Bukan Memoir“. Serta apa kata LHDN juga menyemak dan meminta Tun Mahathir dan Mahiaddin membayar cukai berganda terhadap segala cukai yang tidak sepatutnya, demi ‘meraikan’ kesaksamaan dan kesamarataan terhadap semua Perdana Menteri. 

Ketika itu mungkin kita boleh lihat siapa pula yang akan termasuk dalam senarai Kluster Mahkamah selepas itu dan bukannya hanya ahli politik UMNO. 

Kesimpulannya, dalam kes cubaan penganiayaan LHDN terhadap Najib ini, jelas pihak polis menyiasatnya di bawah akta pemalsuan bagi maksud menipu. Namun apapun akta yang dikenakan, penjawat awam perlulah berani, berintegriti dan bermaruah, serta laporkan ke pihak berkuasa dan maklumkan pihak yang dianiaya, jika ada ahli politik yang menekan atau memaksa mereka untuk menganiaya pihak lain.

Apapun, syabas kepada penjawat awam yang berani menyalurkan maklumat sahih kepada mereka yang ditindas, ditekan dan juga ‘dibuli’ dengan tujuan membetulkan keadaan dan yang banyak teraniaya diberi keadilan. Semoga selepas ini akan ada ramai lagi yang akan tampil ke hadapan untuk membantu negara membetulkan keadaan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts