APA SUDAH JADI DENGAN TABUNG COVID-19 NADMA?

273
SHARES
880
VIEWS

SURAT PEMBACA | Saya ingin melahirkan rasa terkilan berhubung birokrasi dan kelembapan perkhidmatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menyalurkan bantuan Tabung Covid-19 yang telah dijanjikan oleh kerajaan kepada pesakit Covid-19 dan waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

Saya dapati NADMA seolah-olah menganiaya pemohon dan seperti tidak ikhlas untuk membantu, sedangkan NADMA begitu lantang melaungkan hebahan bahawa mereka sangat prihatin dan telah banyak membantu pesakit Covid-19. Ternyata itu semua adalah agenda publisiti dan bukan realiti.

Saya ingin memohon NADMA menjawab persoalan berikut:

Pertama: Kenapa NADMA memberi janji di dalam hebahannya bahawa bayaran akan dibuat dalam masa 30 hari sedangkan hakikatnya NADMA akan membuat bayaran dalam tempoh 6 bulan? (Pegawai NADMA di talian 03-88704906 menyatakan tempoh 6 bulan tersebut). Adakah NADMA ada agenda untuk meraih merit dengan menganiaya rakyat?

Kedua: Kenapa sistem Semakan Status Bantuan Khas Covid-19 di laman web NADMA sangat merumitkan dan tidak masuk akal? Saya katakan “tidak masuk akal” kerana sistem tersebut 100 peratus seperti prosedur permohonan baharu dan bukannya prosedur semakan.

Pemohon perlu muat naik semula semua dokumen permohonan yang telahpun dihantar secara fizikal sebelum ini. Adakah NADMA tidak mempunyai kepakaran teknologi maklumat (IT) seperti jabatan lain yang mana semakan memadai dengan hanya memasukkan nombor Mykad sahaja?

Ketiga: Kenapa sistem Semakan Status Bantuan Khas Covid-19 di laman web NADMA kerap memberi jawapan “Status: Kuiri/Akaun Tidak Aktif” sedangkan pemohon telahpun menghantar dokumen lengkap berkali-kali sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.

Saya mohon Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memandang serius perkara ini kerana NADMA adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Adalah sesuatu yang amat memalukan apabila kerajaan cuba memaparkan imej negara kita sebagai proaktif dan komprehensif dalam menangani pandemik Covid-19 tetapi sebaliknya bekas pesakit atau waris dianiaya.

Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas untuk membantu bekas pesakit Covid-19, permudahkanlah bantuan Tabung Covid-19 seperti yang telah dijanjikan.

BEKAS PESAKIT COVID 19

Kuala Lumpur

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts