“PENYATUAN UMMAH” HANYALAH RETORIK POLITIK PERIKATAN NASIONAL

359
SHARES
2.1k
VIEWS

Bagaimana mungkin sebuah parti berteraskan Melayu dan Islam kedua terbesar di negara ini iaitu PAS boleh percaya dengan retorik “penyatuan ummah” bersama dengan Bersatu dan meminggirkan UMNO? Idea ini sepatutnya dikongsi bersama dengan UMNO terlebih dahulu, hatta bersama ataupun tanpa penyertaan parti serpihan gabungan Pakatan Harapan tersebut.

Penyatuan atau kompromi antara PAS dan UMNO inilah baru boleh dikatakan penyatuan ummah yang sebenar kerana kedua-duanya merupakan dua parti yang mendapat mandat terbesar daripada Melayu dan Islam di negara ini berdasarkan jumlah sokongan dan ahli masing-masing. Melalui penyatuan kedua-dua parti ini dalam Muafakat Nasional yang telahpun dipelopori awal lama sebelum Perikatan Nasional akan menatijahkan kebersamaan dan kesatupaduan yang telahpun lama diusahakan sebelum ini.

Sebaliknya, melalui Perikatan Nasional ini hanya menatijahkan perpecahan dan kecelaruan berterusan dalam kalangan umat Melayu Islam dan akan menyebabkan penyatuan ummah akan sukar dicapai. Perkara ini tidak mungkin dicapai melalui Bersatu yang dahulunya merupakan parti yang bersekongkol dengan DAP dan Pakatan Harapan bagi menumbangkan kerajaan yang diterajui oleh pemimpin Melayu Islam. 

Malah sokongan keterlaluan PAS terhadap Perikatan Nasional ketika ini sehingga membuatkan pemimpin-pemimpin mereka akan menggunakan logo Perikatan Nasional untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri Melaka membuktikan penyatuan ummah ini telahpun jauh tersasar dan hanyalah strategi politik untuk mengelakkan Bersatu terkubur. Ini membuktikan penyatuan ummah versi Perikatan Nasional ini jelas hanyalah retorik politik yang ‘basi’ dan telahpun diketahui umum. 

Namun terpulang kepada pemimpin-pemimpin PAS di negara ini untuk membuktikan sebaliknya, sama ada “penyatuan ummah” mereka ini bersifat retorik dan strategi politik semata-mata ataupun akan mendukungi penyatuan ummah yang sebenar bersama UMNO. Walaupun pemimpin-pemimpin PAS berkata keberadaan mereka dalam Perikatan Nasional ini merupakan penyatuan ummah, hakikatnya rakyat bukanlah bodoh untuk menilai walaupun ‘dalil-dalil’ menghalalkan tindakan mereka diberikan.

Seruan kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS, masih belum terlambat untuk anda memilih penyatuan ummah yang sebenar. Usahlah bersikap hipokrit demi laba politik di dunia yang hanyalah sementara. Anda sendiri tahu jika bersama Bersatu, anda akan membuatkan Pakatan Harapan kembali mempunyai peluang dan kembali berkuasa – iaitu keadaan yang sama ketika PRU-14 yang lepas. Tentu anda sendiri tidak mahu mengulanginya. Sebaliknya jika bersama UMNO, jelas Pakatan Harapan pasti tidak boleh kembali bernafas.

Justeru, jangan biarkan perkara ini berlaku wahai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS. Anda semua bukanlah bodoh untuk tidak melihat perkara ini. Dukungilah Muafakat Nasional yang jauh lebih strategik dan ampuh untuk menumbangkan Pakatan Harapan, berbanding mendukungi Perikatan Nasional yang hanya memanipulasi dan menggunakan akar umbi anda demi survival politik Bersatu semata-mata.

Jangan ‘lacurkan’ maksud sebenar penyatuan ummah tetapi perjuangkanlah ia dengan ikhlas demi Melayu dan Islam di negara ini tanpa meminggirkan kaum dan agama atau kepercayaan yang lain.

In Sha Allah, teras perjuangan Islam anda pasti akan lebih kukuh, diyakini dan diredai Allah SWT. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts