PRN MELAKA: RAKYAT MELAKA MEMILIH, PUTRA UCAP TAHNIAH KEPADA BN

387
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

21 November 2021

1. Rakyat Melaka telah memilih pada 20 November 2021. Mereka telah membuat keputusan dengan memberi kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional. PUTRA turut mengucapkan tahniah kepada BN dan percaya rakyat akan memperolehi apa yang dihajati apabila memilih BN.

2. PUTRA yang pertama kali menyertai pilihan raya telah memperolehi pengalaman yang cukup bermanfaat melalui PRN Melaka. PUTRA berhajat ‘mendaki’ gunung Everest, namun tidak kesampaian walaupun di kaki gunungnya. Namun, semangat jati diri untuk mencuba pertama kali, menimba pengalaman dan menguji ketahanan telah diperolehi.

3. Pengalaman yang pahit tetapi nikmatnya ialah bertarung dalam serba kekurangan secara mengejut tanpa persediaan yang cukup membuktikan semangat juang warga PUTRA amat tinggi dan boleh dibanggakan. Pengalaman yang berharga ialah pengajaran jika ingin bertarung, jentera kena lengkap dan keperluan cukup. Senjata tanpa peluru memang sukar kerana lawan mempunyai segala-galanya.

4. PRN Melaka diadakan dengan SOP yang ketat. Tiada kempen bersemuka dan tiada ceramah. Bukan semua pengundi pergi ke kedai makan, masjid mahupun kedai-kedai untuk mendapatkan maklumat secara terus dengan jentera atau ahli parti apatah lagi PUTRA sebuah parti baru tentunya serba kekurangan. Medan terbaik untuk mempromosikan PUTRA kepada rakyat telah disekat. Pengundi belum sempat mengenali PUTRA berbanding parti yang berusia berpuluh tahun dan pengundi yang sudah biasa melihat simbolnya. Maka sebab itu PUTRA sertai PRN Melaka dengan tujuan memberi salam dan sekadar memperkenalkan diri namun dengan SOP yang dikenakan, hendak menyampaikan salampun sukar. PUTRA juga langsung tiada kemampuan untuk menaja secukupnya bahan-bahan kempen melalui digital dan secara maya. Sekadar mendapat ihsan satu dua media sosial, itupun sepintas lalu sahaja kecuali BBTV. Namun pengikutnya belum ramai.

5. PUTRA akan membuat kajian teliti dan mendalam mengenai PRN Melaka dalam semua aspek termasuk kemenangan besar yang diperolehi oleh Barisan Nasional dan sebab-sebab kemenangan nya. PUTRA mempunyai maklumat yang agak sahih bagaimana BN menang besar dan kekalahan luar biasa yang dihadapi PH serta PN, tetapi biarlah PUTRA simpan dahulu. Segala faktor yang menang dan yang kalah sepanjang PRN Melaka diadakan secara mengejut dengan SOP yang amat-amat tidak masuk akal dalam proses demokrasi pilihan raya kali ini akan dicerna bagi merangka gerak kerja seterusnya bagi persediaan PUTRA menghadapi PRU-15 yang akan datang.

6. Melihat statistik keputusan kerusi, ada parti yang berusia puluhan tahun namun tidak memenangi walaupun satu kerusi. Ini merupakan kekalahan gergasi parti-parti gabungan yang mengejutkan. Kekalahan Perikatan Nasional yang juga parti sebahagian daripada Kerajaan Pusat yang didukungi oleh Bersatu dan PAS juga amat mengejutkan. Jika PUTRA hilang deposit memang sudah dijangka, tetapi apabila ada calon-calon Bersatu dan PAS yang gah dengan pemimpin-pemimpinnya yang berjawatan tinggi dan dibantu oleh pelbagai bahan kempen seperti sepanduk, bendera dan papan iklan yang sebegitu banyak namun ada juga calon-calonnya hilang deposit, maka apa sangatlah pada PUTRA yang pemimpin-pemimpinnya amat kerdil sekadar berkayuh dengan lidi.

Maka sebab itu PUTRA langsung tidak kecewa atau gundah-gulana malah berasa amat bangga dengan percubaan berani kelima-lima calon PUTRA masuk ke gelanggang seperti semangat kebangkitan perjuangan intifada anak-anak Palestin.
Daripada awal PUTRA menyatakan penyertaan kami adalah sekadar ‘pemanas badan’ atau warming up menjelang PRU-15.

6. Syabas kepada 5 calon PUTRA kerana berani mencuba dan berkorban keringat setakat yang termampu. Semuanya telah menunjukkan jati diri, serta aura semangat juang tinggi yang bermakna untuk kelangsungan perjuangan tanpa noktah demi Islam dan peribumi.

7. Bahagian-bahagian PUTRA yang belum mengadakan Persidangan Tahunan 2021 hendaklah segera diadakan yang masih berbaki sekitar 30 Bahagian dari 95 Bahagian yang layak mengadakan Persidangan Tahunan dan memilih Pimpinan Bahagian bagi sesi 2021/2024.

8. Persidangan Agung Tahunan PUTRA 2021 akan diadakan pada 26 Disember 2021.

In sya Allah.

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden Putra

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts