POLEMIK NADMA: BERHENTI SAHAJALAH LATIFF

350
SHARES
2.1k
VIEWS

Polemik berkaitan Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA ini sepatutnya sudah selesai dan tiada siapa yang mahu memanjangkannya kerana semua hanya mahu “move forward” dan bersama-sama membantu mangsa banjir. Tetapi Menterinya seolah-olah ‘meroyan’ apabila tidak dapat menerima hakikat apabila kenyataannya sebelum ini dikecam rakyat. Selaku Menteri “kluster katak”, beliau sewajarnya bekerja keras memastikan bahawa hatta daripada kluster katak sekalipun namun mereka tahu membuat kerja.

Malangnya perkara ini gagal dilakukan oleh Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad apabila beliau meletakkan NADMA kini dalam radar kecaman berterusan masyarakat dan netizen. Pelbagai kenyataannya yang tidak masuk akal walaupun menurutnya ia telah disalahtafsir, namun hakikatnya Latiff memang tersalah cakap. Kenyataan-kenyataan beliau ini boleh diumpamakan seperti kata-kata troll netizen iaitu “Bersederhanalah ketika anda bodoh. Jika tidak, jadilah seperti ini. Tersusun sekali kebodohannya, kemas dan tampak indah“. 

Kenyataannya bahawa bukan semua dalam bidang kuasa NADMA dan kos yang tinggi menyebabkan ‘backlash‘ yang bukan calang-calang menimbulkan kemarahan rakyat, sehinggakan sekali lagi beliau cuba menutup kesilapan tersebut melalui media – malangnya dengan satu kesilapan yang lain pula. 

Beliau sekali lagi tersasar dan kenyataannya makan tuan. Kali ini beliau dipetik berkata kepada akhbar Sinar bahawa beliau boleh meletakkan jawatan dan NADMA boleh sahaja dibubar namun Latiff menyoal kembali iaitu, “Apakah solusinya”? Kenyataan tidak cerdik beliau seperti sebelum ini diulang sekali lagi yang semakin menimbulkan kemarahan rakyat serta pelbagai pihak termasuk NGO yang semakin mendesaknya meletakkan jawatan.

Beliau sepatutnya hanya mendiamkan diri dan memastikan NADMA mampu menguruskan bencana seperti mana fungsi asalnya dan jangan sekali-kali melayan kerenah pihak yang memintanya meletakkan jawatan jika beliau rasa benar kenyataannya sebelum ini disalahtafsir. Namun itulah Latiff, menteri kluster katak yang hanya tahu meminta jawatan tetapi tidak tahu membuat kerja hatta menjalankan tugas-tugas hakikinya sendiri. Jika ketika krisis yang menuntut tumpuan dan kesungguhan tetapi beliau gagal-segagalnya walau hanya untuk menjelaskan tugas dan fungsi NADMA, maka apakah lagi yang rakyat boleh harapkan melalui beliau?

Mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan memecat atau menggantikan beliau kerana Latiff datangnya daripada parti “kolam katak” iaitu Bersatu di mana pemimpin utamanya mempunyai ‘butang’ khas untuk ditekan dan mendakwa kerajaan akan tumbang, namun hakikatnya Latiff perlu malu menggalas tanggungjawab yang tidak mampu dilakukannya ini. Seorang pemimpin perlu tahu untuk berundur jika terlalu kerap membuat kenyataan yang memalukan diri sendiri. Apatah lagi beliau memegang portfolio penting dalam menguruskan bencana. 

Jika masih bermaruah, Latiff wajib meletakkan jawatan jika tidak mahu memalukan kluster kataknya dan parti Bersatu. Dalam masa yang sama NADMA tidak perlupun dibubar kerana agensi itu boleh diterajui oleh individu lain yang jauh lebih baik malah Perdana Menteri boleh sahaja melantik mana-mana penjawat awam yang sesuai untuk mengetuainya. Latiff perlu sedar, beliau kini bukan lagi beban kepada parti dan rakan-rakan kataknya tetapi juga beban kepada rakyat dan negara.

Tindakan beliau yang cuai, tidak acuh dan angkuh mempertahan tindakan tidak betulnya serta bertanyakan “apakah solusinya” itu perlu dihentikan. Walaupun Perdana Menteri mungkin tidak mampu melakukannya kerana “kompromi politik” dan tidak mahu menyakitkan hati mana-mana pemimpin Bersatu terutamanya yang mengaku mempunyai butang khas itu, tetapi Latiff sendiri perlu berundur kerana telah menyusahkan rakyat dan negara.

Daripada berterusan menjejaskan kehidupan rakyat, berundur sahajalah Latiff. Jawapan kepada soalan anda apakah solusinya itu biar sahaja Menteri lain yang menggantikan anda kelak yang fikirkan. Selagi anda ada, satu negara tidak akan mencapai solusinya.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts