BENCANA BANJIR: KERAJAAN PERLU SEDIA PELAN INDUK YANG LEBIH KEMAS DAN JELAS

344
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN JASANUSA

23 Disember 2021/18 Jamadilawal 1443H

Pertubuhan Jasanusa memandang serius isu kecelaruan dan kelembapan pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas menyelamat mangsa-mangsa banjir di Lembah Kelang baru-baru ini.

Tiada koordinasi di antara jabatan-jabatan yang terbabit di samping aduan kecemasan daripada mangsa banjir yang tidak dibantu segera, menyebabkan banyaknya kiritkan dari rakyat serta media antarabangsa yang telah memberi imej negatif kepada kerajaan.

Media antarabangsa seperti Al-Jazeera dan Reuters telah menyifatkan operasi menyelamat mangsa banjir oleh agensi kerajaan adalah perlahan dan tidak jelas kaedah perlaksanaannya (slow and unclear rescue efforts). Dakwaan tersebut disokong dengan fakta meningkatnya angka kematian mangsa banjir di Selangor setiap hari.

Pertubuhan ini menggesa kerajaan mewujudkan satu pelan induk bencana banjir di peringkat persekutuan yang secara mutlak akan dapat mengkoordinasi semua tugas-tugas bantuan kecemasan ketika banjir di negeri-negeri.

Tangungjawab dan skop tugas setiap jabatan sama ada di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri, perlu dinyatakan dengan jelas agar masing-masing tahu tindakan di kawasan mereka dan tiada isu “wrong door policy” yang menyalahkan satu sama lain di antara jabatan.

Melalui pelan induk ini juga, diharapkan kerajaan dapat turut merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang prihatin untuk sama-sama terlibat membantu mangsa banjir.

Dengan cara demikian, tidak akan berlaku lagi isu NGO atau orang awam yang mengkritik pihak berkuasa akibat mereka dihalang untuk memasuki kawasan banjir sedangkan mereka ingin membantu menyelamatkan mangsa atau mengedarkan makanan.

Selain itu, dengan adanya satu SOP yang jelas untuk semua pihak, ia juga dapat membendung berlakunya kejadian jenayah “menagguk di air keruh” seperti mencuri di pasaraya yang ditenggelami banjir dan melarikan kereta-kereta mangsa banjir seperti yang berlaku di Shah Alam.

Walaubagaimanapun, Jasanusa amat menghargai kerja keras semua agensi kerajaan dalam membantu mangsa banjir di Lembah Klang  yang telahpun menggerakkan semua aset dan tenaga kerja khususnya Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam, NADMA dan pihak berkuasa tempatan di setiap daerah.

Sesungguhnya segala kepincangan yang berlaku dalam agensi kerajaan membantu mangsa banjir pada kali ini adalah satu pengajaran yang perlu diambil iktibar oleh pihak kerajaan khususnya menteri-menteri yang terbabit.

Ketika krisis bencana sedang melalui proses pemulihan ketika ini, wajarlah seluruh rakyat terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk terus menyempurnakan pelan pemulihan dan bantuan kepada semua mangsa serta pembangunan semula infrastruktur di kawasan yang musnah.

SAMSUDIN AWANG

Presiden

Kg. Baru, Kuala Lumpur

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts