Kononnya berlakunya kemelut dalam UMNO
Kelihatannya UMNO dalam kemelut memilih siapa calon Perdana Menterinya selepas ini bagi mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak. Tan Sri Annuar Musa daripada awal cuba ‘mencucuk jarum’ kononnya calon Perdana Menteri UMNO dan “poster boy” mereka kelak ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
‘Kemelut’ ini sebenarnya mainan perang saraf pasukan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Bersatu yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan. Kemelut ini dicipta berterusan kerana rancangan utama mereka mahu memastikan UMNO berkubur selama-lamanya atau ‘dipindah-milik’ kepada Tun Mahathir-Tan Sri Mahiaddin Yassin telahpun gagal. Bukan sahaja gagal malah mula terbongkar satu persatu komplot jahat termasuk mengenakan bekas Perdana Menteri keenam. Ini termasuklah pendedahan yang mengejutkan di mana keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti sendiri berhubungan baik dengan Jho Low sejak sekian lama semenjak di luar negara lagi.
Keluarga Zeti terima ratusan juta daripada penjenayah Jho Low
Siapa sangka Tan Sri Zeti sendiri turut terlibat dengan ‘beruang jadian’ tersebut? Malah keluarganya sendiri ‘kantoi’ menerima ratusan juta daripada penjenayah dikehendaki itu, cuma mujur sahaja Jho Low pandai menyamar dengan bertukar menjadi beruang. Malah mungkin Tun Mahathir melantik Tan Sri Abdul Hamid Bador menjadi Ketua Polis Negara adalah semata-mata untuk memastikan Jho Low tidak dibawa pulang. Tidak buat kerja lainpun tidak mengapa. Jika tidak, tentu sahaja komplot itu sudah lama terdedah apabila Jho Low berjaya dibawa pulang dan ‘dipanggang’ oleh barisan peguam pembelaan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sehingga rentung.
Justeru kemelut sebenar yang berlaku ialah apabila ada pemimpin dan pihak tertentu dalam UMNO yang mahu teraju parti diambil alih oleh Bersatu.
Dua rancangan utama Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu
Rancangan utama Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu ialah untuk menumbangkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang ketika itu diterajui oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak serta memastikan UMNO terus berkubur atau ‘diambil-alih’. Rancangan pertama mereka berjaya namun yang kedua ini masih gagal sehingga kini. Rancangan kedua ini gagal apabila Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu terlalu “under estimate” kemampuan dan kecekalan UMNO mengharungi kekalahan di PRU-14 lepas.
Tujuan utama adalah agar tiada sesiapa selepas ini yang mengganggu ‘ekosistem’ perniagaan atau projek Tun Mahathir dan Mahiaddin bersama kroni-kroninya.
Natijah apabila gagal menguburkan atau ‘hijack‘ UMNO
Kegagalan mematikan atau merampas teraju UMNO ketika berkuasa secara tidak langsung membuatkan watak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi kuat apabila beliau dilihat lebih menjaga UMNO sebagai sebuah institusi berbanding agenda peribadi menangani puluhan kes rasuah terhadapnya. Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan atau Tok Mat Hasan juga memainkan peranan penting membantu Presiden menguatkan UMNO pasca PRU-14.
Fenomena ‘Bossku‘
Kegagalan Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu ini juga disumbangkan oleh kebangkitan Najib secara tidak langsung melalui fenomena ‘Bossku‘ yang bukannya dirancang awal tetapi telah berlaku di luar jangkaan semua pihak. Malah para pengkaji dan strategis media sosial juga dilihat terpaksa membuka kembali ‘manual‘ masing-masing rentetan fenomena Bossku yang berlaku mendadak ini. Daripada dimalukan teruk, beliau bangkit membantu UMNO dengan fakta-fakta yang diterima mudah oleh netizen dan juga rakyat kerana disertakan dengan pautan penting yang boleh diakses oleh semua pihak.
Malah kegagalan ini membuatkan munculnya Muafakat Nasional yang diterajui oleh dua parti Melayu Islam terbesar negara iaitu UMNO dan PAS. Malah Pakatan Harapan sendiri konsisten tumbang di pelbagai Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan di seluruh negara.
Tun Mahathir terpaksa meletakkan jawatan demi survival Bersatu
“Ritual kegagalan” ini terpaksa diakhiri oleh Tun Mahathir dengan berkorban meletakkan jawatan agar karier politik beliau, Mahiaddin dan survival parti ‘katak’ Bersatu tidak berakhir bersama Pakatan Harapan. Mereka tahu, lebih lama mereka bersama Pakatan Harapan maka lebih teruk parti itu akan dikerjakan rakyat dan dimalukan di setiap PRK.
Meletakkan jawatan ini merupakan strategi memberi “oksigen sementara” kepada Bersatu dan beliau sendiri serta Mahiaddin.
Kekuatan penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional
Malah kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional ini diperkukuhkan dengan kerjasama melangkau sempadan kepartian iaitu Muafakat Nasional yang dibentuk bersama PAS. Ini kerana Muafakat Nasional ini diterima dan disokong oleh majoriti umat Islam di negara ini – melainkan mereka yang ‘totok’ atau tegar menyokong Pakatan Harapan.
Pengundi atau penyokong-penyokong totok sebegini tidak mampu membebaskan diri masing-masing daripada pengaruh SIAPA yang mereka sokong dan tidak mahu merujuk kepada APA hujah atau fakta yang sebenar. Pegangan mereka cukup mudah, iaitu; “Ini semua ini salah Najib dan UMNO” – justifikasi mudah bagi mereka yang tidak mahu berfikir.
Muafakat Nasional digeruni DAP dan Pakatan Harapan
Kerjasama UMNO dan PAS ini cukup digeruni dan dibenci oleh DAP sehinggakan pakar strategi DAP iaitu Liew Chin Tong mengecam keras kerjasama ini seumpama Taliban atau pengganas. Adakah Chin Tong dan DAP ada mengecam teruk gagasan politik Perikatan Nasional antara Bersatu dan PAS? Ini yang perlu PAS perhalusi bukannya tenggelam dalam angan-angan “penyatuan ummah” dalam Perikatan Nasional.
Indikatornya jika DAP kecam, maka itulah yang mereka takutkan. Maka perkukuhkan apa yang DAP takut jika mahukan penyatuan ummah yang sebenar. Ini yang tidak ada dalam Perikatan Nasional.
Menuntut kejujuran PAS
Pemimpin-pemimpin PAS tidak berbasa-basi konon mahukan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional secara serentak sedangkan akar umbi UMNO menolak Bersatu secara total kerana tidak mahu parti itu dipimpin oleh orang yang sama yang mahu memastikan UMNO berkubur. Bukannya UMNO ego mahu menolak bergabung dengan Bersatu tetapi ada agenda jahat lain yang mahu dielakkan oleh UMNO.
Tindakan UMNO sama sekali tidak sama seperti tindakan PAS jika tidak mahu menerima PAN kembali kepada parti mereka, setidak-tidaknya PAN masih gentlemen berlawan dengan PAS di pilihan raya tidak seperti Bersatu yang menggunakan “jalan belakang”. Jika benar pemimpin-pemimpin PAS jujur dan ikhlas benar-benar ingin membenamkan DAP, maka Muafakat Nasional-lah jawapannya. Bukan asyik-asyik beretorik melalui Perikatan Nasional tetapi isu Tabung Haji dan pembunuhan arwah Adibpun masih gagal diselesaikan.
Rakyat tahu membezakan yang mana Islam dan yang mana parti menggunakan Islam
PAS tidak lebih hanyalah sebuah parti politik seperti UMNO, PAN, Bersatu dan lain-lain, bezanya mereka ini menggunakan Islam. Tidak lebih dan tidak kurang. Jika tidak tentunya apa yang diperjuangkan oleh PAS sebelum ini telahpun dilaksanakan setidak-tidaknya secara berperingkat dan bukan asyik-asyik menyatakan sokongan kepada kerajaan atas apa jua isu termasuklah mengingkari titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong – sehinggalah Mahiaddin sendiri terpaksa meletakkan jawatan.
Ya, PAS jangan ingat rakyat sudah lupa.
Tujuan Perikatan Nasional semata-mata untuk ‘membunuh’ kerjasama UMNO dan PAS
Apapun, Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu masih bernafsu untuk ‘hijack‘ kerusi Presiden UMNO apabila gagal memastikan UMNO berkubur selepas PRU-14. Namun kini ia memasuki episod baru apabila semua perancangannya gagal, maka Tun Mahathir, Mahiaddin dan Bersatu terpaksa mengalah suatu perancangan baharu – maka di situlah lahirnya Perikatan Nasional.
Ia dicipta semata-mata untuk memastikan UMNO dan PAS kekal tidak bekerjasama kerana jika tidak, karier politik Tun Mahathir dan Mahiaddin sendiri akan berakhir malah Bersatu pula akan terus berkubur tanpa nisan – asas ketakutan yang sama dihadapi oleh DAP. Maklumlah, semuanyapun berasal daripada Pakatan Harapan, sama seperti cadangan Lim Kit Siang mengenai penubuhan Bersatu, iaitu bagi menghancurkan UMNO.
Jika Tun Mahathir menjadi Si Kitul Pakatan Harapan bagi menumbangkan UMNO, maka PAS kini pula dipergunakan oleh Tun Mahathir untuk menjadi Si Kitul bagi beliau dan Mahiaddin untuk menumbangkan penyatuan ummah di bawah Muafakat Nasional.
Sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri wajib mengikut ‘ekosistem’ politik Tun Mahathir dan Mahiaddin
Hakikatnya Tun Mahathir dan Mahiaddin perlu memastikan siapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri selepas ini wajib mengikut kata-kata dan kehendak mereka. Ia dilakukan agar tidak mengganggu ‘ekosistem’ sedia ada yang telah menjadi acuan mereka sejak puluhan tahun lampau.
Segala-galanya diatur dan ditempatkan sesuai dengan kehendak mereka berdua. Sesiapa berani melawan arus akan dikeluarkan daripada ekosistem tersebut. Mangsa pertama adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah. Namun amat malang dan memalukan apabila menantu beliau kini amat mendokong ekosistem sama yang pernah mematikan karier politik bapa mentuanya.
Sesiapa yang ingkar akan ‘dihukum’
Jika tidak mereka akan menerima nasib yang sama seperti Najib Razak. Cuma dijangkakan selepas ini akan ada lebih banyak komplot, konspirasi dan juga salah guna kuasa yang akan terdedah selepas pemergian Tun Mahathir kelak. Akan ada kroni, rakan subahat dan juga culprit tertentu yang akan duduk melutut bertemu pemimpin baharu yang tidak mahu mengikut acuan Tun Mahathir dan Mahiaddin.
Itupun jika ekosistem lama berjaya dihalang. Jika tidak, seluruh negara masih akan berada di bawah ekosistem yang sama, bezanya ketika itu tiada lagi Tun Mahathir. Ekosistem ini akan berterusan selagi ada pemimpin UMNO sendiri menjadi dalang atau menjadi ejen Bersatu di dalam parti dan sampai bilapun tidak akan habis.
Oh Malaysiaku.