SIDANG DAMAI SELATAN THAI: TAHNIAH TAN SRI RAHIM NOOR – JASANUSA

359
SHARES
2.1k
VIEWS

Jasanusa ingin mengucapkan tahniah kepada mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang telah berjaya mengendalikan rundingan damai antara Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dan Kerajaan Thailand sehingga tercapainya kata sepakat perdamaian bagi dua pihak yang bertelagah di Selatan Thailand itu.

Rundingan selama dua hari yang berlangsung di Kuala Lumpur sehingga kelmarin (12 Jan 2022), telah meletakkan kepercayaan kepada Malaysia sebagai fasilitator yang diwakili oleh Tan Sri Rahim Noor walaupun terdapat pemerhati antarabangsa lain iaitu Jonathan Powell dari United Kingdom dan Siri Skate dari Norway.

Jasanusa melihat kepercayaan ini sebagai satu tanda ikatan semangat Nusantara yang kuat di kalangan masyarakat Islam negara-negara Asean khususnya yang berjiran dengan Malaysia.

Konflik Selatan Thailand yang berlarutan sejak lebih 60 tahun lalu, menyebabkan masyarakat Melayu Islam di Wilayah Pattani tersisih daripada pembangunan sosial dan ekonomi. Ia telah mendorong BRN menuntut kemerdekaan daripada Kerajaan Thailand bagi mewujudkan kestabilan politik wilayah itu.

Kecekapan Tan Sri Abdul Rahim Noor menjadi orang tengah untuk mengemudi sesi rundingan yang berlangsung dalam tiga bahasa itu (Bahasa Melayu, Thailand dan Inggeris), telah membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak untuk mewujudkan Kumpulan Gerakerja Bersama (Joint Working Group) ke arah perdamaian yang akan diselaraskan oleh Malaysia selaku fasilitator.

Jasanusa yakin masyarakat Islam di seluruh rantau Nusantara sentiasa mengharapkan Wilayah Pattani dan seluruh Selatan Thai dapat dibersihkan daripada sebarang isu keganasan atau peperangan kerana ia secara tidak langsung telah memberi perspektif buruk kepada masyarakat Islam Nusantara.

Wilayah Selatan Thailand adalah lokasi strategik daripada aspek sosio-ekonomi Melayu Nusantara kerana kedudukannya di tengah-tengah antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Kemboja.

Perdamaian dan kestabilan politik di Wilayah Patani akan turut memberi manafaat kepada negara-negara serantau khususnya dalam aspek ekonomi dan pelancongan. Ketika ini sahaja sudah ramai pelabur-pelabur daripada Malaysia yang membina perniagaan di sana namun masih pada skala kecil kerana faktor kestabilan politik.

Samsudin Awang 

Presiden

(Kuala Lumpur/ 14 Januari 2022)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts