SUDAH TERDESAK SANGATKAH ANNUAR MUSA?

322
SHARES
1k
VIEWS

Seperti biasa Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa cuba menongkah arus dan mendahului parti dengan pelbagai cadangannya yang sentiasa tidak selari dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi dan akar umbi parti. Yang terkini beliau menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri ‘bidan terjun’ selaku calon Perdana Menteri kesepuluh Malaysia.

Dalam masa yang sama, hanya kem Annuar serta segelintir pemimpin pro Bersatu dan Tan Sri Mahiaddin Yassin galak mencadangkan itu dan ini termasuk menampilkan Ismail selaku “poster boy” UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak. Perkara ini hanya mengundang gelak ketawa majoriti ahli dan penyokong-penyokong UMNO yang setia bersama Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjaga baik parti UMNO selaku sebuah institusi dan bukan bersifat peribadi atau menjadi alat pemimpin Bersatu seperti Annuar.

Tindakan Annuar ini sebenarnya tindakan terdesak. Beliau tahu, pemimpin-pemimpin yang berkiblatkan Bersatu pasti dibenamkan oleh rakyat di PRU-15 kelak. Malah jika UMNO sendiri masih memilih pemimpin seperti beliau dan pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin contohnya, UMNO sendiri akan kerugian kerana tiada sesiapa akan mengundi dan menyokong mereka. Apatah lagi pemimpin-pemimpin yang walaupun tidak melompat tetapi bersikap “dua alam” seperti katak – iaitu suka bermain di banyak ‘kolam’.

Selain itu tindakan Annuar secara terang-terangan menamakan Ismail Sabri sebagai Presiden parti juga boleh dikatakan sebagai mengkhianati parti kerana perkara ini jelas membelakangkan Ahmad Zahid yang dilantik secara sah oleh akar umbi UMNO sendiri. Adakah Annuar waras ketika mencadangkan nama Ismail kerana tidak mungkin beliau tidak tahu jawatan Presiden UMNO ini akan dipertandingkan terlebih dahulu dan jangkaan Ismail Sabri menang selaku Presiden amatlah tipis?

Jika bukan Zahid dicalonkan sebagai Presiden sekalipun, hierarki UMNO masih mempunyai Dato Seri Utama Mohamad Hasan atau Tok Mat yang jauh lebih popular dan setia berbanding Ismail dan Annuar sendiri. Selain itu adakah Annuar tidak mengkaji mood pengundi-pengundi ketika ini? Tidak cukupkah Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak menjadi teladan dan bukti Bersatu bakal diranapkan oleh tsunami membalas perilaku pengkhianat dan katak-katak politik oleh rakyat?

Annuar tidak boleh terlalu yakin dan mengharapkan sekutu terkuat Bersatu iaitu PAS kerana parti itu sendiri kini goyah dan akar umbi mula mempertikai tindakan pemimpin-pemimpin mereka. Walaupun terdesak dan panik, Annuar perlu bertenang, jangan mendahului parti dan kalau boleh pendamkanlah sedikit nafsu besar ingin terus berkuasa melalui Bersatu.

Jangan lupa bahawa Presiden UMNO dan MKT sendiri hanya bertindak dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan sebelum ini dan bukannya seperti Annuar yang hanya mengikut nafsunya sendiri dalam memastikan karier politiknya tidak akan berakhir. Annuar perlu sedar, hayat politik beliau juga berada di tangan akar umbi. Jika akar umbi yang menolaknya maka Presiden dan MKT akan akur dengan kehendak majoriti tersebut.

Jika tidak, selaku Presiden yang mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan hala tuju UMNO, sudah tentu Ahmad Zahid akan menggunakan kuasanya untuk bersama dan menyokong Bersatu. Malah tindakan ini tentu akan lebih memudahkan urusan peribadi dan karier politiknya namun Ahmad Zahid berjiwa besar dan memilih untuk akur dengan ketetapan yang dibuat parti sebelum ini dan kehendak akar umbi yang sepakat menolak Bersatu yang terdiri daripada pengkhianat parti dan pemimpin-pemimpin yang menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.

Malah jika Ahmad Zahid bersetuju dengan saranan Annuar dan segelintir pemimpin-pemimpin dalam UMNO yang termakan dengan umpan “scheme of things” Mahiaddin agar bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional, beliau sendiri akan ditolak oleh akar umbi dan penyokong-penyokong UMNO.

Justeru, hakikatnya Annuar dan rakan-rakan sekutunya kini bukan berdepan dengan Ahmad Zahid tetapi bakal berdepan dengan seluruh akar umbi dan penyokong-penyokong UMNO yang berdiri teguh di belakang Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO. Realiti inilah yang sebenarnya Annuar takutkan dan cuba bermain dengan kata-kata serta masih cuba menaikkan pemimpin lain selain Ahmad Zahid dan Tok Mat Hasan selaku calon Presiden dan Perdana Menteri di PRU-15.

Ini kerana selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia, tentu beliau tahu mood rakyat ketika ini cukup muak dan menyampah dengan pemimpin-pemimpin katak, berlagak kayangan dan yang mengkhianati parti. Rakyat sudah bersedia menghukum mereka sekeras-kerasnya termasuklah Annuar. 

Malah PRU-15 kelak bakal menjadi kuburan besar buat Mahiaddin dan Bersatu serta segelintir pemimpin-pemimpin UMNO yang cuba ‘melanggar’ dan membelakangkan Presiden dan cuba mengkhianati partinya sendiri.

Jika Annuar tidak percaya, tunggu sahaja apabila Parlimen dibubarkan. Ketika itu menangis air mata darahpun sudah tidak berguna. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts