Kenyataan Setiausaha Agung PERKASA
7 Mac 2022
Sebagai seorang anak negeri Johor, saya amat rasa terhina dengan kenyataan Presiden PAS yang mengatakan orang Johor kurang kesedaran politik Islam ketika PAS cuba bertapak di negeri ini dahulu.
Ini satu penghinaan yang amat dahsyat dari seorang yang dikatakan seorang ulama Presiden parti Islam kononnya, terhadap rakyat Johor.
Yang sebenarnya rakyat Johor bukan kurang kesedaran politik Islam. Rakyat Johor amat sedar politik Islam itu apa, tetapi PAS bukan bawa politik Islam namun membawa politik kafir-mengkafir dan memecah-belahkan sesama Islam.
Keluarga berpecah tidak bertegur sapa, orang kampung berpecah, solat dua imam, masyarakat tidak makan daging sembelihan parti lain itu semua membuatkan rakyat tidak percaya dengan politik Islam PAS daripada awal lagi.
PAS mengkafirkan pihak tertentu sebegitu mudah pada zaman itu, maka ini bukanlah suatu politik dianjurkan Islam yang sebenar.
Rakyat Johor bukan tidak cerdik hingga mudah hendak serahkan kuasa kepada parti memperguna Islam demi kepentingan peribadi pihak tertentu.
Kalau inilah kenyataan keluar daripada pemimpin tertinggi PAS, saya percaya tiada rakyat Johor sanggup memberi undi calon PAS yang akan bertanding di PRN Johor beberapa hari lagi. Mungkin sebahagian kecil, sangat kecil jumlah ahli PAS di negeri ini akan mengundi calon parti itu. Mereka itu masih terus terpesona dangan janji-janji syurga PAS sebelum ini.
Saya juga percaya calon-calon daripada parti-parti yang bekerjasama dengan PAS di PRN Johor akan menerima tamparan hebat daripada masyarakat negeri itu terutamanya pengundi-pengundi Melayu. Mereka bakal hilang undi.
Kerana pulut santan binasa, kerana mulut undi tidak merasa.
Syed Hassan Syed Ali
Setiausaha Agung PERKASA
Anak Johor