HAJI HADI ‘PEMUSNAH’ MUAFAKAT NASIONAL?

385
SHARES
2.3k
VIEWS

Satu negara maklum mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional yang tercetus apabila Pakatan Harapan semakin melampau memerintah termasuk ingin melaksanakan ICERD. Kemuncaknya Piagam Muafakat Nasional dimeterai antara PAS dan UMNO pada 14 September 2019. Namun kemudiannya secara tiba-tiba satu negara dikejutkan apabila PAS secara mendadak menyertai Perikatan Nasional pada 19 Ogos 2020 yang menimbulkan tanda tanya mengenai keikhlasan dan konsistensi PAS dalam Muafakat Nasional yang telah dimeterai lebih awal.

Tidak lama kemudian PAS mula kelihatan hilang minat dengan Muafakat Nasional apabila dilihat tenggelam dalam ‘keseronokan’ habuan jawatan melalui “scheme of things” yang ditawarkan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin. Segelintir pemimpin PAS mula menghentam dan menyindir UMNO. Haji Hadi sendiri kemudiannya juga menghentam secara terbuka dan mendakwa kononnya UMNO-Barisan Nasional membawa pendekatan assabiyah dan meminggirkan masyarakat majmuk. Rujuk pautan; https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-politik/abdul-hadi-dakwa-umno-masih-amalkan-politik-sempit-344841%3famp=1

Tindakan Presiden PAS ini jelas merupakan serangan terbuka terhadap UMNO-Barisan Nasional dan secara tidak langsung memperlihatkan semangat Muafakat Nasional tiada lagi dalam hati dan sanubarinya. Perjanjian yang terjalin kukuh sebelum ini tidak lagi dihormati. Terbukti dengan penubuhan Perikatan Nasional dan ketiadaan semangat setiakawan dalam PAS mampu memporak-porandakan Muafakat Nasional. Haji Hadi dan segelintir pemimpin PAS hanya tahu menuduh dan memfitnah walaupun imej agama dan warak ditonjolkan oleh mereka. 

Tidak mungkin Haji Hadi tidak tahu bahawa UMNO-Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan kaum-kaum lain dan buktinya bukankah MIC dan MCA bersama UMNO sejak sekian lama? Malah sebelum itu Gerakan juga bersama Barisan Nasional sebelum keluar selepas kalah teruk di kubu kuat sendiri. Selain itu bukankah pelbagai bantuan diberikan kepada kaum-kaum lain sejak sekian lama dan tiada yang tercicir apabila segalanya disalurkan secara sama rata termasuk rakyat di Kelantan? 

Tambah pelik apabila kenyataan Haji Hadi ini senada dengan DAP-Pakatan Harapan yang selama ini yang menuduh UMNO-Barisan Nasional meminggirkan masyarakat lain terutamanya Cina dan India. Jika benar, kenapakah senarai orang terkaya di Malaysia ini majoritinya terdiri daripada bukan kaum Melayu yang beragama Islam? 

Jika Haji Hadi benar-benar warak dan mengamalkan kehidupan beragama dalam diri dan keluarganya, tentu beliau tidak akan angkuh menyindir, melabel dan memberi pelbagai gelaran termasuk memperumpamakan dengan pelbagai haiwan. Orang yang kuat amalan agama dan sunnah tidak akan sekali-kali menuduh atau melabel individu lain apatah lagi menyakiti hati umat Islam yang lain. Orang agama juga tidak akan menyindir atau memperkecilkan pihak lain serta pasti tidak akan menuduh individu lain yang tidak menyertai ‘firqah’nya sebagai kurang kesedaran agama. Pandangan beliau ini bukan sahaja melampau malah dikhuatiri wujud perasaan ujub dalam dirinya apabila memperkecil pihak lain sedemikian.

Dalam Islam Allah Taala memerintah umatnya untuk berlemah lembut sesama Islam. Manusia tidak akan datang pada agama dengan celaan-celaan ataupun sindiran-sindiran, sebaliknya hati akan lembut apabila diberi galakan dan dorongan, didakwahkan dengan kata-kata yang lembut dan perasaan kasih sayang sesama Islam. 

Namun gaya bahasa dan tindakan Haji Hadi ini tidak kena dengan statusnya sebagai pemimpin tertinggi PAS yang diberi gelaran Tok Guru, tentu sepatutnya kerana kefahamannya yang mendalam dalam agama namun tindak-tanduknya dilihat bertentangan dan memecah-belahkan sesama Islam. Mungkin inilah hasilnya apabila dikelilingi oleh penasihat dan segelintir pemimpin PAS yang khianat dan mabukkan kuasa. Begitu takut jika kehilangan jawatan, tiada lagi keistimewaan dan tidak lagi dihormati sebagai Menteri. Tiada lagi habuan puluhan ribu sebulan walaupun kerja-kerja hakiki membawa pelaburan tidakpun ditunaikan.

Justeru jika dengan izin Allah Muafakat Nasional ini terkubur akhirnya walaupun masih ada beberapa pemimpin PAS yang sayangkan kerjasama serta masih rasional dan menghormati perjanjian, jangan pula Haji Hadi salahkan pihak lain tetapi salahkanlah diri sendiri yang daripada awal tidak ikhlas menjalin kerjasama.

Muhasabahlah Haji Hadi, apa yang anda kejar dan takut kehilangan ini hanyalah dunia semata-mata. Di sisi Allah, hanya iman dan amal yang dilihatNYA. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts