ADAKAH PAS AKHIRNYA AKAN KEMBALI BEKERJASAMA DENGAN DAP-PH?

125
SHARES
403
VIEWS

Tinggal dua hari lagi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana kesempatan ini wajar digunakan sebaik-baiknya oleh semua parti yang bakal bertanding kelak. Semuanya berjanji termasuk Tan Sri Mahiaddin Yassin yang cuba membuat u-turn dalam pelaksanaan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) walaupun kata-katanya langsung tidak boleh dipercayai kerana bukankah beliau yang bertanggungjawab menghentikannya sebelum ini? 

Lebih teruk, ada pemimpin Bersatu turut menggesa diadakan jajaran baharu bersama DAP-Pakatan Harapan bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional. Tindakan ini sama seperti ketika PRU-14 dahulu di mana Bersatu bersama Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan memerintah Barisan Nasional. Cuma kali ini kelihatan sedikit janggal kerana ketika ini Bersatu bersama PAS dalam Perikatan Nasional walaupun tidak mustahil ‘pakatan’ ini akan dilaksanakan. Bagi PAS, segalanya mungkin kerana parti itu tidak pernah konsisten dengan perjuangannya sendiri serta kerap mengeluarkan dalil bagi menghalalkan segala tindakannya. 

Pimpinan PAS ketika ini termasuk Presidennya Haji Hadi Awang turut mengambil pendekatan ‘bermusuh’ dengan UMNO dan Barisan Nasional dengan memberi pelbagai kenyataan memecah-belah dan mengelirukan. Demi survival parti PAS dilihat sanggup melakukan apa sahaja hatta bekerjasama dengan DAP-Pakatan Harapan. Hadi sendiri daripada awal telahpun ‘mensucikan’ kembali parti itu sebelum ini. Rujuk Minda Presiden PAS yang pernah diulas melalui artikel, “Tahaluf Siyasi 2.0?” di pautan; https://editormalaysia.com/23854/

Haji Hadi dipetik berkata, “Di sana terdapat dalam kalangan mereka yang bermusuh terhadap Islam, tetapi menghormati asas akhlak yang mulia dalam membela orang yang dizalimi, bersimpati terhadap mereka yang miskin, memuliakan tetamu dan lain-lain” – bagaimana mungkin seorang yang digelar ‘Tok Guru’ oleh PAS dan mengetuai sebuah parti yang dikatakan sebagai memperjuangkan Islam boleh menyeru kepada kerjasama dengan mereka yang memusuhi Islam?

Kenyataan Haji Hadi ini benar-benar tidak masuk akal dan dilihat bertentangan dengan agama. Ini kerana dalam Islam umatnya diseru agar jangan bekerjasama dengan musuh-musuh Islam. Logik Haji Hadi ini seumpama jika Presiden Ukraine secara tiba-tiba menyeru rakyatnya bekerjasama dengan Rusia yang bermusuh terhadap Ukraine – yang tentunya akan dimaki hamun oleh rakyatnya sendiri.

Jelas jika mereka yang dianggap sebagai musuh Islam boleh diajak bekerjasama oleh Haji Hadi untuk menumbangkan parti lain yang diterajui dan dianggotai oleh Melayu Islam, ini membuktikan Haji Hadi seorang oportunis politik yang sanggup melakukan apa sahaja dan tidak lagi boleh dihormati kerana boleh membawa mudarat kepada umat Islam. 

Inilah wajah sebenar Haji Hadi dan segelintir pemimpin PAS yang pandai memperguna agama untuk keuntungan diri sendiri. Islam ini hanya meniti di bibir-bibir mereka sahaja yang akan digunakan apabila perlu. Tidak pernah konsisten dan tidak pernah sekalipun kekal dengan pendirian dan perjuangan sendiri. Hakikatnya halatuju PAS adalah “politik kepartian” dan bukannya politik Islam. 

Justeri amat jijik dan keji jika jajaran baharu antara PAS-Perikatan Nasional dan DAP-Pakatan Harapan ini berlaku. Diharapkan Haji Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS sempat insaf dan sedar bahawa umat Islam ini semuanya bersaudara. Jangan sesekali bersama musuh-musuh Islam hatta mahu kekal berkuasa dan takut kehilangan jawatan.

Apapun satu negara tertunggu-tunggu apakah kesudahannya dengan drama politik PAS ini yang sentiasa berubah-ubah plotnya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts