KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA MENGENAI KEPUTUSAN PRN JOHOR

373
SHARES
2.2k
VIEWS

13 Mac 2022

1. PRN Johor sudah selesai dan BN mencapai kemenangan besar sebagaimana ramalan sebelum ini. PUTRA mengucapkan tahniah kepada BN yang mendapat mandat rakyat Johor sepertimana di PRN Melaka. Dua negeri ini dari segi sejarah politik adalah kubu kuat UMNO-BN sejak sekian lama kecuali tewas sedikit semasa PRU ke-14.

2. Sudah pasti semua pihak ingin melihat SEJAUH mana janji-janji yang ditaburkan akan ditunai atau dilaksanakan.

3. PUTRA yang bertanding buat kali kedua di PRN Johor selepas PRN Melaka, meletakkan satu sahaja calon di DUN Semerah. DUN ini mempunyai sejarah perjuangan Panglima Kiyai Salleh. PUTRA terpaksa bersaing dengan 4 parti utama iaitu BN, PKR, PN dan Pejuang yang dipimpin oleh Tun Mahathir. Pada awal PUTRA menerima hakikat amat sukar untuk mendapat kemenangan atau undi yang banyak kerana usia PUTRA masih di alam remaja yang baru belajar berjalan setelah 2 tahun lebih penubuhannya. PUTRA masih dalam tempoh percubaaan dalam situasi serba kekurangan dan terpaksa bersaing dengan parti-parti besar dan yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin berpengalaman.

4. Apapun PUTRA langsung tidak kecewa, keluh resah kerana parti besar bersama pemimpin-pemimpin mereka ada juga yang turut tewas dengan teruk sekali, walaupun bertanding di banyak kerusi dan ada yang tidak menang walau satu kerusipun, walaupun bendera dan papan iklan bersepah di merata tempat. Begitu juga PN dan PKR. Wajah TSMY yang dikenali sebagai ‘Abah’ dijadikan ‘poster boy’ PN berada di semua desa, kampung dan bandar juga tewas dengan teruk.

5. Manakala PUTRA bertanding satu DUN dan tewas tetapi tetap tersenyum lebar tanpa sedikitpun rasa kecewa malah merasa bangga kerana dalam keadaan serba kekurangan dan daif, PUTRA tetap berjaya masuk ke gelanggang bagi tujuan kekal berada dalam radar dan pentas politik negara.

PUTRA akan terus melangkah kehadapan sebagai wadah yang berani dan cekal walaupun berkayuh dengan lidi. Ia membuktikan PUTRA adalah sebuah parti perjuangan dalam erti kata yang sebenar bukan parti retorik, menang sorak kampung tergadai. PUTRA tampil menongkah arus demi masa depan anak cucu ketuanan Melayu yang telah banyak kehilangan hak dan porak-poranda.

Bangsa yang masih bernaung dengan wang ringgit untuk kais pagi makan pagi. Sebab itu isu-isu yang menyebabkan negara menjadi parah, bukan menjadi perhitungan para pengundi atau rakyat. Yang penting, siapa yang bagi susu untuk hidup hari ini dan esok. Bukan persoalan masa depan negara.

6. PUTRA sedar begitu besar cabaran dan ujian dalam menghadapi PRK, PRN atau PRU, memerlukan jentera yang kuat dan mesti ada sumber kewangan yang mencukupi dan disusuli dengan isu isu yang menyentuh sentimen rakyat. Sebagai langkah berjimat cermat, sekadar bertanding satu DUN dengan tujuan berada dalam radar politik negara dan memberi saingan baru kepada parti-parti besar, PUTRA hanya berbelanja amat sedikit sahaja, tidak termasuk wang pertaruhan, hanya untuk logistik seperti bendera, sepanduk, bunting dan risalah calon.

Ceramah pula dikenakan SOP yang ketat dan dihadkan sehingga jam 10 malam beserta kehadiran tidak lebih dari 100 orang sahaja. Kemudian beberapa hari kempen dibenarkan sehingga jam 12 malam. Bijak dan licik permainan atas nama ancaman Covid-19 tetapi ia memberi kesan kepada pergerakan kempen parti yang bertanding. Ketakutan rakyat dengan denda RM1,000 menyebabkan rakyat takut untuk hadir mendengar ceramah, dibimbangi pula dengan kehadiran polis serta SPR. Takut rakyat jika dikenal pasti, kerana kebimbangan ditarik berbagai pemberian dan subsidi, untuk kais pagi makan pagi.

7. Apapun, PUTRA tetap berpendapat bila tiba PRU-15 nanti, keadaan tidak sama dengan PRN atau PRK. Kemenangan BN di PRN Johor dan PRN Melaka tidak semestinya merupakan ‘trend‘ atau menjadikan keputusan yang sama seperti PRN atau PRK.

In sha Allah, sama-sama kita tunggu dan lihat. Ada banyak sebab kenapa PRN dan PRU sangat berbeza dan tidak harus parti-parti politik merasa kecewa atau cemas. Yang penting fokus kepada PRU-15.

8. Parti-parti pembangkang juga seharusnya mula berfikir dan mengambil langkah ke arah penyatuan yang boleh menyakinkan rakyat sebagai pilihan selain daripada BN. Ia tidak mudah dan memerlukan semangat pengorbanan dan tolak ansur yang tidak sedikit terutama mengenai perkara-perkara dasar yang pokok seperti Asas Perlembagaan Negara dan Dasar-dasar Nasional yang berpaksikan asal-usul negara Malaysia.

9. PUTRA tetap istiqamah. Sudah pasti dengan perkembangan mutakhir ini, PUTRA akan didokongi oleh insan-insan yang cekal, gigih dan bersemangat waja. Yang lemah dan yang mengharapkan sesuatu, mungkin akan mencari wadah lain agar dapat mereka mencari tempat berteduh. Namun sebagai nahkoda, pasti PUTRA tidak akan akan menyerah kalah, ibarat kata berpantang ajal sebelum maut. Biar berputih tulang jangan berputih mata. Genggam bara api biar sampai jadi arang. In Sha Allah, PUTRA menanti cabaran PRU ke-15. Kita merancang Allah yang menentukannya.

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts