Pergolakan dalam Pakatan Harapan terutamanya PKR semakin ketara dan saling tikam-menikam sesama sendiri. Terkini ‘orang kepercayaan’ Anwar yang juga bekas Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador membidas Rafizi Ramli yang kembali ingin berpolitik walaupun telah mengundur diri sebelum ini.
Farhash meminta bekas Ahli Parlimen Pandan itu agar menghentikan permainan politik murahan dan bersikap jujur. Farhash berang kerana ketika wawancara bersama radio BFM 89.9, Rafizi membayangkan enggan bertanding Presiden kerana “tidak mahu menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej-mesej parti kepada umum”. Tiada sekelumitpun rasa hormat Rafizi terhadap bekas ‘bos’ yang beliau hormati selama ini. Mungkin setelah lama tidak berpolitik, fikirannya kembali waras untuk menilai siapa Anwar Ibrahim sebenarnya.
Farhash yang pernah menjadi bekas Setiausaha Politik Anwar mendakwa kenyataan Rafizi banyak berbaur sindiran terhadap Presiden PKR. Beliau juga menyifatkan Rafizi biadap dan memandang rendah kepadanya. Farhash dengan sinis membandingkan Rafizi dengan Anwar dan bertanya adakah beliau merasa layak untuk menentang Anwar Ibrahim sebagai Presiden?
“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti,” cabar Farhash sambil memperlekeh Rafizi.
Beliau juga menyifatkan Rafizi seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi demi mencapai cita-cita peribadinya apabila mengumumkan untuk kembali aktif dalam politik.
“Rafizi yang banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir presiden parti sebagai lemah dan menyifatkan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan.”
“Sebagai orang parti, dia sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR.”
Justeru dengan kembalinya Rafizi dalam arena politik negara, di peringkat awal kelihatan beliau berjaya memporak-porandakan PKR dan mungkin benar kata-kata Farhash, Rafizi mempunyai agenda tersembunyi demi mencapai cita-citanya dalam politik.
Mungkin selepas ini beliau mampu menggantikan Anwar Ibrahim menerajui PKR bagi mengharungi PRU-15 bersama DAP dan Pakatan Harapan. Jika gagal, mungkin Rafizi akan bersara daripada politik sekali lagi. Tiada apa yang mustahil dengan PKR.