SURAT PEMBACA | Birokrasi yang tebal antara punca kes-kes penipuan siber terutama oleh scammer masih gagal ditangani dengan berkesan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dilihat masih pasif dan hanya menanti aduan pengguna yang menjadi mangsa. Begitu juga dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Itupun jika aduan dilakukan, proses agak berlapis-lapis, lambat bertindak dan kurang fokus.
Malah dalam sebahagian hal, kes-kes penipuan siber tidak diberi keutamaan dan tidak dianggap serius sedangkan ia membawa kerugian besar kepada ekonomi negara. Akibatnya kebanyakan aduan hanya menjadi bahan statistik yang ghairah dikumpul oleh pihak berkuasa. Inilah keluhan ramai mangsa penipuan siber di negara ini.
Disebabkan kelemahan pihak berkuasa selain kurang kesedaran para pengguna dan mudahnya rakyat kita diperdaya, maka sindiket penipuan siber tidak merasa gerun. Saya mencadangkan SKMM, polis mahupun instituI perbankan lebih efisien dan pro aktif dalam menangani isu aduan para pengguna.
Pertama, lebih serius dan fokus serta bertindak segera sebaik menerima aduan.
Kedua, menempatkan tenaga kerja yang cekap dan mencukupi.
Ketiga, mewujudkan pasukan petugas khas yang merangkumi semua pihak berkenaan khususnya polis, SKMM, institusi perbankan dan kumpulan pakar bebas.
Keempat, memperhebatkan risikan dan pengumpulan maklumat dalam mengesan lebih awal gejala penipun sindiket penipuan siber.
Kelima, melakukan rombakan terhadap jabatan dan unit jenayah siber di SKMM, PDRM dan perbankan sekiranya dilihat banyak kelemahan dan tidak berkesan.
Kegagalan kerajaan dan pihak berkuasa mengatasi isu ini akan menjejaskan keyakinan semua kelompok – rakyat, pelabur, ekspatriat dan diplomat asing di negara ini. Inilah masa menuntut pembaharuan jika tidak mahu negara ini menjadi lubuk sindiket penipuan siber nombor satu di dunia.
Pensyarah rakyat
Tg. Malim, Perak