Blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) membuat pendedahan demi pendedahan mengenai Hakim Mohd Nazlan Ghazali yang menimbulkan minat dalam kalangan rakyat untuk mengetahui kebenaran sebenarnya. Hanya melalui siasatan yang telus tanpa memihak kepada sesiapa maka kebenaran akan terungkap.
Jika siasatan dan pendakwaan hanya dibuat setengah jalan maka tentu keadilan yang mahu ditegakkan tidak akan mampu dicapai. Raja Petra mendakwa mempunyai bukti dan mendedahkannya secara berperingkat termasuk memberitahu mengenai kandungan emel antara pihak terlibat dalam SRC dengan hakim tersebut.
Malangnya Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin lain termasuk Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn menyelar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyiasat Hakim Nazlan. Bagi mereka tindakan ini merupakan satu intimidasi terhadap beliau dan cubaan ‘discredit‘ walaupun Hakim Nazlan sendiri sudahpun membuat laporan polis terhadap Raja Petra.
Apabila laporan dibuat maka tentu siasatan akan dilakukan sama ada oleh SPRM dan Polis DiRaja Malaysia untuk mencari kebenaran, bukannya dengan cara mendesak agar siasatan dihentikan kononnya kerana bertentangan dengan Perlembagaan. Sikap hipokrasi Anwar, Karen dan Pakatan Harapan ini begitu menonjol dan double standard kerana mereka tidak pula mempertikai tindakan menyiasat dan menjatuhkan hukuman ke atas hakim-hakim lain sebelum ini.
Apa agenda sebenar Pakatan Harapan? Apa yang mereka takutkan ataupun cuba untuk menyorokkan sesuatu? Kenapa tindakan SPRM menyiasat laporan yang dibuat kepada pihaknya dikatakan sebagai tidak berPerlembagaan? Bukankah Anwar, Karen dan Pakatan Harapan sendiri arif dengan undang-undang, justeru apakah muslihat ataupun apakah keuntungan yang mahu mereka raih dengan ‘menekan’ SPRM?
Mungkin Anwar, Karen dan Pakatan Harapan perlu belajar undang-undang semula dan menghayati prinsip keluhuran Perlembagaan. Janganlah apabila SPRM menyiasat seteru politik mereka dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang tetapi apabila kena atas batang hidung sendiri maka dikatakan pula sebagai tidak berPerlembagaan.
Hakim Nazlan sendiri tentu malu dengan sikap kepura-puraan Anwar, Karen dan Pakatan Harapan yang cakap berdegar-degar tetapi tidak mahu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Apa sahaja yang mereka buat hanya untuk keuntungan diri sendiri.
Justeru, biarkan SPRM dan pihak berkuasa selesaikan siasatan dan menyerahkan laporan mereka kepada Peguam Negara untuk membuat dakwaan. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat yang mahu tahu kebenaran di sebalik dakwaan terhadap Hakim Nazlan.