PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PARTI PUTRA MALAYSIA

76
SHARES
246
VIEWS

INGATAN IMBASAN BARAH KUASA MELAYU ISLAM

ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR
WALILLAILHAM

Selamat Menyambut Hari Raya Adil Fitri 1443H Maaf Zahir Batin buat seluruh umat islam Malaysia.

1. Menginsafi untuk diri saya dan seluruh umat Melayu Islam sempena Adil Fitri satelah berjaya berpuasa selama 30 hari kerana kewajipan salah satu daripada rukun Islam yang pasti memberi pengajaran keinsafan kepada kita semua umat Melayu Islam Malaysia, maka marilah sama sama
kita menaruh kebimbangan apa akan terjadi kepada masa depan bangsa Melayu setidak-tidaknya 20 tahun daripada sekarang akan bermain dalam minda dan cemas dalam hati setiap umat Melayu yang mempunyai kesedaran dan keinsafan. Sejak penjajahan British sehinggalah ke hari ini, mentaliti, pemikiran dan emosi orang Melayu yang boleh dianggap sebagai tipikal Melayu yang mudah terikut telunjuk mereka yang berkuasa terutamanya bangsa asing.

2. Awal penjajahan Inggeris terlalu mudah mereka yang berkuasa ketika itu memberi ruang dan bersekongkol dengan kuasa asing bergaduh sesama sendiri berebut kuasa. Melayu sukar bersatu dan berpecah belah bukan hanya laungan mutakhir ini bahkan sejak dahulu lagi. Ini adalah antara punca kenapa Inggeris mudah menyelinap masuk campur tangan. Gologan elit dan bangsawan terjamin kedudukan mereka biarpun rakyat kebanyakan hidup biasa dan ada yang sengsara. Amalan perundangan lebih menjadi sasaran golongan ini.

3. Senario dahulu dengan sekarang tidak banyak berbeza. Golongan elit politik dan bangsawan hidup mereka bermewah dan bermegah. Jika dulu disebut rakyat kebanyakan sekarang ini disesuaikan istilah B40 mengikut peredaran masa. Golongan B40 merupakan majoriti yang tergolong dalam miskin luar bandar dan miskin bandar. Mereka ini juga golongan majoriti pengundi. Mereka juga merupakan sasaran elit politik yang menggunakan “sumber kebendaan” dalam pelbagai bentuk seperti subsidi, bantuan, derma yang berselindung disebalik syarak, undang-undang dan moral untuk menghalalkan cara. Golongan ini dianggap mudah dimanipulasi. Sama juga amalan mereka dalam pemilihan parti. Hanya yang berduit dipilih menjadi pemimpin selaras dengan pegangan mereka “cash is king“.

4. Terdapat juga mereka daripada B40 yang menjadi ahli politik teknokrat, birokrat dan usahan bertukar menjadi kaya-raya tetapi mereka juga terikut lupa asal usul mereka. Mereka melonjak kepada T20 termasuk dalam golongan elit politik dan bangsawan disebabkan kekayaan mereka. Rasuah, Salah guna kuasa dan penyelewengan dikenali “parasit tiga serangkai” adalah budaya baru dalam kehidupan untuk mencari kemewahan. Mereka sanggup gadai maruah bangsa, menjual agama dan pengkhianat negara kerana mengejar kedudukan dan kekayaan. Kini satu dunia mengenali bangsa Melayu yang berkuasa terpalit amalan parasit tiga serangkai. Amalan ini boleh dikenalpasti serendah tahap berkuasa sehinggalah yang tertinggi.

5. Baru 65 tahun merdeka Melayu jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain terutamanya kuasa ekonomi, pemilikan hartanah, industri dan perniagaan, bidang profesional dan perkhidmatan. Lebih menyedihkan GLC yang ditubuhkan menjadi alat untuk kepentingan kuasa politik menyimpang daripada matlamat asal untuk membantu Bumiputera. Agensi seperti UDA, MARA, Tabung Haji, FGV, Pertronas dan lain-lain lagi. Berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa serta bersekongkol dengan “kroni-kroni taikun” dan proksi yang mengambil faedah.

6. Tanah rezab Melayu yang hanya tinggal 12 peratus banyak tergadai kepada bukan Melayu atas alasan pembangunan. Sumber kekayaan yang dikurniakan Allah SWT kepada Malaysia termasuk hasil bumi tidak diuruskan secara amanah dan bertanggungjawab. Elit politik dan birokrat yang berkuasa seolah-seolah berlumba membina kekayaan bersama kroni dan proksi. Agak pelik juga dengan bangsa Melayu Islam pemimpin dan tokoh yang nyata menyelewang dan hipokrit dan melakukan kemungkaran menjadi sanjungan dan pujaan. Bebas menjual muka dan maruah menegak benang basah seolah-olah “pakaian malu sudah ditelanjangkan”.

7. Bukan kaum lain yang menyebabkan Melayu akan merempat di negara sendiri, tetapi di tangan-tangan Melayu yang berkuasa hilang jati diri mengkhianati bangsa sendiri. Terdapat golongan elit dan pertengahan Melayu yang hidup selesa, “ada aku kisah” itu bukan urusan aku, itu urusan pemimpin yang berkuasa. Jangan nanti ketika menyambut kemerdekaan yang ke-100 bukan lagi YDP Agong sebagai Ketua Negara tetapi “Presiden Republik Malaysia”, bukan lagi bangsa Melayu tetapi kaum lain. Melayu ketika itu tetap menjadi bangsa pengemis di negara sendiri seperti rakyat Palestin sekarang.

8. Tulisan ini bukan provokasi tetapi sama-sama kita fikirkan untuk menjadikan bangsa bermaruah dan mengekalkan kuasa sebagai penduduk asal negara ini. Kita seharusnya belajar daripada sejarah hidup dalam penjajahan kuasa asing satu ketika dahulu. Mahukah kita dijajah semula menjadi hamba bangsa asing di negara sendiri? Buka minda tanya hati sendiri. 

9. Maka apa patut umat Melayu lakukan jika tidak mahu jadi saperti Melayu Singapura atau rakyat Palestin atau menjadi pelarian setelah bumi sendiri dipijak orang. Di depan mata Temasik menjadi Singapura sudah menjadi milik orang. Jangan tunggu air mata berdarah kerana ketika itu sudah tidak berguna lagi.

10. Senjata bagi umat Melayu Islam ialah kembali mengukuhkan semangat siliturrahim, berpegang kepada ajaran “amal maruf nahi mungkar” dan dengan tegas menolak pemimpin-pemimpin yang munafik, rasuah, salah guna kuasa dan pilihlah pemimpin yang bersih, bermoral, bukan soal tua muda serta yang mengutamakan bangsa sendiri dahulu. Jangan jadi seperti kera di hutan disusukan, tetapi anak sendiri di rumah mati kelaparan. Nyahkan parti yang menang sorak kampung tergadai dan Islam terus ternoda oleh parti yang memperguna Islam sebagai alat cari makan melalui politik.

Bumi Melayu yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu kini dikenali Malaysia telah menyebabkan kehakisan Ketuanan Melayu akibat perbuatan pemimpin-pemimpin Melayu yang tidak bertanggungjawab, tamak dan rendah akhlaknya.

11. Jangan 20 tahun lagi azan tidak kedengaran, takbir raya menjadi sunyi, bila mana bumi sudah dipijak atau menjadi milik orang walaupun Melayu tidak hilang di dunia. Rakyat Palestin tidak hilang dan masih ada, cuma mereka sudah hilang negara.

INGATLAH DAN HAYATILAH PESANAN PRESIDEN PUTRA YANG KERDIL INI TETAPI KONSISTEN MEMPERTAHANKAN AGENDA MELAYU ISLAM WALAUPUN TIDAK DIDENDANGKAN SELAMA 40 TAHUN MENEMPUH ONAK DAN DURI. 

MAAF ZAHIR BATIN. 

INGAT ISLAM INGAT MELAYU INGAT PUTRA

Dato Ibrahim Ali

Presiden PUTRA 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts