ISU LCS GANTI SKANDAL 1MDB DI PRU-15?

357
SHARES
2.1k
VIEWS

Pakatan Harapan sudah mendapat ‘peluru’ baru menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 apabila isu kapal perang LCS kini pula didendangkan. Laporan PAC hanya diceritakan sebahagian manakala sebahagian yang lain tidak pula didedahkan. 10 pucuk surat bekas Panglima ATM mengenai ‘dispute‘ pemilihan model kapal perang pula dipusingkan fakta kononnya sebagai surat teguran kepada kerajaan yang tidak dihiraukan. 

Majlis perasmian dan penamaan kapal yang dihadiri oleh Sultan Perak juga dikatakan menipu baginda sedangkan ia majlis biasa yang turut pernah dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan semasa memerintah. Paling jelik, kapal yang belum siap pula ditohmahkan sebagai ‘halimunan’ sedangkan projek ‘terowong ajaib’ Lim Guan Eng malah terlebih halimunan berbanding kapal LCS. 

Inilah kuasa naratif dan propaganda yang akan dimainkan oleh Pakatan Harapan selagi boleh dan dalam masa yang sama UMNO-Barisan Nasional akan terus membuang masa untuk menangkis propaganda dan fitnah sebegini sehinggalah malam-malam terakhir PRU-15 kelak. Oleh kerana itulah lagi lambat pilihan raya diadakan maka ia akan memberi lebih banyak peluang dan ruang untuk Pakatan Harapan memainkan pelbagai propaganda termasuk LCS, yang seumpama skandal 1MDB pada PRU-14 lepas. Bekas Perdana Menterinya disiasat, namun penglibatan hakim dan Gabenor BNM secara terus langsung tidak diketahui sehingga kini.

Sedangkan sesiapa sahaja jika terlibat, wajar dihadapkan ke muka pengadilan. Sama seperti isu LCS, sesiapa sahaja yang terlibat, sama ada pemimpin UMNO, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional ataupun Pejuang, jika didapati terlibat maka jangan ada sesiapapun yang ‘didiamkan’ seperti yang terjadi dalam isu hakim dan gabenor BNM. Jangan setakat laporan PAC tetapi tubuhkan juga Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) agar segalanya dapat diketahui secara telus tanpa berselindung. Jangan pula ambil pendekatan pengecut Pakatan Harapan, terus gugurkan kes banglo Lim Guan Eng yang jelas memeranjatkan semua pihak termasuklah SPRM sendiri.

Jelas, Pakatan Harapan selama ini hanya beretorik dalam menegakkan hukum dan membangkang apa sahaja walaupun banyak perkara yang menguntungkan rakyat. Namun apabila diberi peluang untuk memerintah, masa 22 bulan itu hanya digunakan untuk ‘membunuh’ musuh-musuh politik mereka. Pendakwaan digunakan semahunya untuk menganiaya dan membuli seteru politik, dalam masa yang sama Pakatan Harapan juga gagal membangunkan dan ‘memulihkan’ negara seperti yang dicanang berdegar-degar selama ini.

Kesimpulannya, ‘peluru’ LCS yang diperolehi oleh Pakatan Harapan ini sebenarnya semata-mata untuk mengelirukan rakyat dan penyokong-penyokong sendiri agar terus berprasangka dan melihat kebrobrokan pihak lain demi melindungi kegagalan sendiri. Apa sahaja yang menguntungkan mereka akan dimainkan, dengan harapan besar agar rakyat akan terus dikelirukan. 

Maka terpulang kepada rakyat dan pengundi-pengundi kelak untuk membuat keputusan mengundi siapa dan parti mana di PRU-15 kelak. Pelbagai maklumat hari ini tidak lagi dirahsiakan malah semua pihak kini mempunyai akses terhadap maklumat-maklumat penting yang tersedia di alam maya. Daripada surat-surat penting dan minit mesyuarat juga sudah banyak yang terdedah. Hatta perjanjian Perdana Menteri-Perikatan Nasional juga bocor dan tular, seperti niat jahat segelintir pemimpin PAS melalui dokumen PASleak. Sama ada dibongkarkan ataupun ia sudah menjadi maklumat awam, dunia maklumat kini tidak lagi mempunyai sempadan.

Justeru, semoga tidak ada lagi pengundi-pengundi yang sengaja bereksperimen di PRU-14 lepas tanpa meneliti fakta dan butiran setiap perkara yang dihadapkan di depan mata. Jangan beremosi dan hanya percaya bulat-bulat apabila ia diberitakan oleh individu atau pihak yang kita sokong, tetapi semaklah dahulu apa yang dibawanya. Mungkin terlihat ‘tali’ namun ia sebenarnya ‘ular’.

Jika kita mahu undang-undang itu adil dan terlihat adil, kita selaku rakyat juga perlu bersikap adil dan terlihat adil. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts