PAC AKUI KELEWATAN LCS BUKAN SALAH MANA-MANA KERAJAAN

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pemberhentian projek LCS bukan disebabkan arahan pemberhentian kerja oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). Katanya, projek itu terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.

Dalam prosiding PAC, pengurusan BNS sendiri mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan serius sehingga terpaksa mengurangkan gaji kakitangannya,” katanya pada program “Diskusi Rakyat: LCS – Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi” di Seri Manjung, dekat sini hari ini.

Selain Kah Woh, anggota panel lain program itu ialah Ahli Parlimen Lumut yang juga Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Pengerusi Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia, Amidi Abd. Manan.

Ketika ini, isu LCS menjadi medan pertelagahan politik apabila pemimpin daripada kalangan BN, PH dan PN saling salah-menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca projek itu tidak dapat disiapkan walaupun sepatutnya kapal pertama LCS diserahkan pada 2019.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kah Woh berkata, Ketua Pegawai Eksekutif BNS yang baharu, Azhar Jumaat ketika prosiding bersama PAC mengakui terdapat salah urus kewangan yang serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, dapatan PAC mendapati, wujud perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 bilion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan ‘overrun cost’ atau kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.

Begitu juga dengan kerugian dialami oleh BNS akibat membayar harga mahal sehingga empat kali ganda menerusi ‘letter of award’ bernilai RM3.3 bilion kepada syarikat sub-kontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd.(CED).”

Bagi pihak PAC, kita berpendapat memang berlaku salah laku amat serius khasnya daripada aspek kewangan, sebab itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan dan pendakwaan mereka,” ujarnya.

Ketika ini, BNS mempunyai hutang bernilai kira-kira RM1.7 bilion terhadap pembekal produk asal (OEM) dan institusi kewangan dan jika isu itu berlarutan, ia boleh menjejaskan dana pencen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bernilai kira-kira RM2 bilion.

Dipetik daripada Utusan Malaysia, untuk artikel penuh sila rujuk berita di pautan; https://www.utusan.com.my/nasional/2022/08/syarikat-bina-lcs-habis-duit-terpaksa-henti-pelaksanaan/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts