BERILAH RAWATAN TERBAIK KEPADA NAJIB, LAYANLAH BELIAU SEADIL-ADILNYA

106
SHARES
342
VIEWS

Bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak tidak dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) yang berstatus swasta walaupun berada di bawah Kementerian Kewangan. Ini kerana status beliau selaku banduan perlu dirujuk ke hospital awam sahaja.

Sungguhpun begitu banyak pihak mempertikai isu ‘hak’ banduan ini kerana jika wujud isu keperluan kesihatan yang hanya ada di IJN maka adakah hak sah seorang rakyat Malaysia di sisi Perlembagaan akan dinafikan hanya atas alasan “prosedur banduan”? Bukan hanya Najib tetapi banduan lain juga wajar mendapatkan segala haknya apatah lagi yang melibatkan kesihatan dan perubatan yang sepatutnya diberikan ruang seluas-luasnya di sisi Perlembagaan.

Jika alasan hospital awam juga mempunyai pakar dan peralatan terbaik atau sebaik IJN, maka tutup sahajalah pusat perubatan tersebut kerana segala pakar dan peralatan terbaik sudah ada di hospital kerajaan. Rujuk sahajalah Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin politik lain ke hospital awam kerana mereka kini tidak lagi memerlukan IJN. 

Selain itu, jika hanya semata-mata mahu berpegang kepada “prosedur banduan” maka jika wujud keperluan mendesak untuk mana-mana banduan dirujuk kepada pakar di IJN, maka adakah hak ini mahu dinafikan kerajaan? Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Najib “memberikan rawatan terbaik” untuk Najib hanya dipandang sebelah mata oleh Khairy Jamaluddin selaku Menteri KKM?

Atau arahan tersebut hanya retorik untuk memperlihatkan keprihatinan kerajaan di mata rakyat namun hakikat perlaksanaannya tidak seperti yang diharapkan. Jangan lupa, Najib merupakan bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada rakyat maka tidak adakah sekelumit belas kasihan atau ihsan kerajaan terhadapnya?

Mungkin beliau kini dicemuh sebagai banduan namun dalam Al-Quran telah memberikan pengajaran dan teladan kepada umat Islam bahawa Nabi Allah Yusuf AS sendiri telah dipenjarakan walaupun tidak bersalah. Bukankah Al-Quran ini merupakan kalam Allah, bukan hanya untuk dibaca dan difahami tetapi menjadi petunjuk serta panduan sepanjang zaman, sehinggalah Allah Taala memerintah malaikat Israfil meniupkan sangkakala – yang telahpun berada di mulutnya sejak ribuan tahun Allah ciptakan.

Ini jelas memberi maksud bahawa Al-Quran ini menunjukkan apa yang telah, sedang dan akan berlaku sehinggalah berlaku kiamat dengan izin Allah. Al-Quran itu langsung tiada keraguan namun dalam hati manusialah yang penuh dengan sifat ragu-ragu dan kepura-puraan. Di depan berlagak rakan tetapi di belakang mencucuk dan menikam. 

Jangan lupa, sebagaimana anda hidup, seperti itulah anda akan dimatikan. Sebagaimana anda dimatikan, seperti itulah anda akan dibangkitkan kelak. Masa yang ada ini santunilah individu yang pernah menjadi ketua dan rakan hatta beliau seorang banduan. Jangan lupa, akhirnya kita semua akan mati, Raja-raja, Perdana Menteri, kaya atau kayangan, miskin atau marhaen, rakyat biasa atau banduan. 

Di sisi Allah, jawatan Perdana Menteri dan Menteri ini langsung tidak bernilai, tetapi apa yang anda lakukan semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri ini pasti akan dinilai oleh Allah. Jika baik ia akan dihisab, jika buruk ia akan diazab.

Justeru, Khairy, Ismail Sabri dan kerajaan Malaysia wajar bertenang dan beringatlah sentiasa bahawa Allah Taala itu ada dan tidak buta. Pembalasan Allah Taala itu adalah sebaik-baik dan seadil-adil pembalasan. Kecuali jika tidak percayakan akhirat dan hari pembalasan, maka lakukanlah sekehendak hati anda. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts