KEJUTAN DI LANGKAWI?

259
SHARES
836
VIEWS

Sudah berlegar rakaman video majlis ceramah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kempen PRU-15 di Langkawi, tidak mendapat sambutan. Nampaknya kali ini senario di Langkawi berubah. Beliau bukan lagi tarikan besar buat orang tempatan.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berusia 97 tahun itu yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak lagi sepopular sebagaimana ketika kempen PRU-14. Ternyata rakyat Langkawi sudah serik dan kecewa dengan Mahathir atas banyak faktor. Antaranya banyak janji tidak tertunai dan beliau bukan wakil rakyat yang berkesan. Imejnya di peringkat nasional terjejas teruk.

Pada PRU-15, Mahathir akan menjadi calon tertua dalam sejarah negara. Kerusi Langkawi akan menyaksikan pertandingan lima penjuru. Mahathir akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya dan calon Bebas, Datuk Abdul Kadir Sainudin.

Pada PRU-14 lalu, Mahathir memperoleh 18,954 undi menewaskan Datuk Nawawi Ahmad (BN, 10,061 undi) dan Zubir Ahmad (Pas, 5,512 undi). Dengan perkembangan terbaru ini, sudah ramai orang Langkawi bercakap tentang angin perubahan untuk kembali kepada BN semula.

Lebih-lebih lagi dengan permuafakaan yang baik dalam kalangan UMNO Langkawi. Sikap keterbukaan Nawawi, keyakinan ramai kepada calon BN, Armishah Siraj dan kerja keras bekas Exco Kanan, Dato Mohd. Rawi Hamid adalah isyarat yang positif kepada peluang BN. Solidariti dalam UMNO ini akan mengukuhkan jentera BN yang nampak lebih tersusun berbanding PRU-14. Suasana kempen BN juga ceria dengan penyertaan ramai anak muda Langkawi terutama yang digerakkan oleh Mohd. Rawi atas populariti beliau di pulau peranginan itu. 

Namun Mahathir masih berkeyakinan peluang beliau untuk pertahankan kerusi Parlimen Langkawi adalah amat baik. Menurutnya, banyak kerusi kosong pada majlis ceramahnya bukan bermakna beliau sudah hilang sokongan.

Namun menurut pelbagai sumber, Pejuang bimbang dengan keadaan terkini di Langkawi dan akan memperhebatkan kempen sehingga hari terakhir. Dengan situasi lebih mencabar di Langkawi, ruang Mahathir untuk bergerak di seluruh negara bagi membantu calon-calon Pejuang dan GTA, terbatas.

Jentera Pejuang Langkawi telah mencadangkan agar Tun Mahathir lebih berkampung di sini. Kapal boleh karam di laut gelora kalau asyik tiada nakhoda,” kata sumber itu.

Meskipun rating Mahathir jatuh di Langkawi, masih awal untuk membuat jangkaan siapa bakal menang. Tempoh kempen yang berbaki lebih seminggu masih ada. Segala-galanya boleh berlaku mahupun berubah di Langkawi.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts