SEGELINTIR PENGUNDI-PENGUNDI PUTIH UMNO PARLIMEN SUNGAI BULOH SERBA SALAH MAHU UNDI KHAIRY JAMALUDDIN

382
SHARES
2.2k
VIEWS

Klip video berkempen yang memaparkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang kononnya mahu membela Tan Sri Noh Omar termasuk aksi terajang, serta kenyataan beliau mahu menjadi Perdana Menteri, dilihat banyak pihak sebagai biadap dan keterlaluan. Hatta pengundi-pengundi setia UMNO-Barisan Nasional di Sungai Buloh sendiri berasa tertekan dengan keputusan pucuk pimpinan meletakkan pemimpin yang mempunyai liabiliti seperti beliau di sana.

Tinjauan rambang Editor Malaysia bertemu “pengundi-pengundi putih” yang konsisten menyatakan hasrat untuk mengundi UMNO-Barisan Nasional menunjukkan mereka kini serba-salah untuk mengundi siapa kerana Khairy diletakkan sebagai calon UMNO di P.107 Sungai Buloh. Ini kerana mereka daripada dahulu tidak bersetuju dan menyangkakan Khairy akan senasib dengan Annuar Musa dan Shahidan Kassim kerana ketiga-tiganya dilihat kerap menghentam dan mengkritik keputusan pucuk pimpinan sendiri terutamanya Presiden, namun malangnya beliau tetap terselamat. 

Walaupun tinjauan ini hanya melibatkan sejumlah kecil pengundi-pengundi putih UMNO-Barisan Nasional dalam kalangan penduduk sekitar Parlimen Sungai Buloh dan tidak boleh dijadikan sebagai penanda  aras, namun 94.07 peratus atau 127 daripada 135 responden yang ditemui bukan dalam kalangan ahli UMNO boleh dijadikan sampel penerimaan. Walaupun ini bukanlah gambaran keseluruhan tetapi majoriti daripadanya tetap tidak mahu mengundi Khairy dengan pelbagai alasan. Antaranya melibatkan isu vaksin yang menimbulkan persepsi mencurigakan, sikap beliau yang angkuh serta dilihat tidak setia dengan parti, selain oportunis dan cenderung kepada Perikatan Nasional.

Pengundi-pengundi putih UMNO ini serba salah untuk memilih dan mungkin tiada pilihan selain untuk merosakkan undi atau tidak keluar ke pusat pengundian kerana tidak mahukan Khairy menjadi wakil rakyat mereka. Sungguhpun begitu, ini hanya tinjauan awal dan bukan bukti kukuh ia akan dilakukan oleh responden-responden yang ditemui, namun ia tetap tidak boleh dipandang ringan. 

Baki 8 responden adalah dalam kalangan ahli UMNO, juga dilihat ragu-ragu tetapi 5 daripada mereka mengatakan akan tetap mengundi Khairy atas ‘semangat’ sesama UMNO. 3 daripadanya masih serba salah kerana tidak bersetuju Khairy diberi watikah. Malah mereka mempertikai kenapa Ahli Parlimen bermasalah dan tidak disukai rakyat seperti Khairy ini masih diberi peluang oleh UMNO. Persoalan yang sama juga dibangkitkan oleh 127 responden dalam kalangan bukan ahli UMNO yang dinyatakan di awal tinjauan.

Melalui tinjauan selama beberapa hari dengan sasaran 150  responden, rata-rata kecewa dengan sikap Khairy sebelum ini malah semakin tidak disukai apabila melihat nafsu besarnya ketika berkempen yang kerap memperlekehkan pimpinan parti sendiri termasuk mengatakan UMNO sebagai ‘sesat’. Selain itu tindakan beliau yang tidak malu menyatakan hasrat ingin menjadi Perdana Menteri memberikan kesan kepada pengundi-pengundi yang melihatnya sebagai terlalu awal untuk dinyatakan dan hanya membuktikan beliau bernafsu besar dan tamak. Selain sikapnya di atas, dapatan tinjauan juga menunjukkan Khairy dikaitkan oleh responden dengan isu pembelian vaksin yang menurut mereka memerlukan penjelasan, serta sikapnya yang dilihat lebih kepada ‘paksaan’ dan bukannya pujukan untuk mengambil dos ketiga dan keempat.

Responden juga memohon agar isu Ismail Sabri dimasukkan, di mana tindakan beliau daripada awal mengatakan akan melantik semula Khairy sebagai Menteri Kesihatan serta menyokongnya yang mahu menjadi Perdana Menteri, tidak dipersetujui oleh semua responden. 15 responden pula digugurkan kerana tidak melepasi saringan awal sebagai pengundi putih. Ada yang mengaku sebagai pengundi-pengundi UMNO tetapi dilihat sebagai penyokong-penyokong Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional melalui kenyataan-kenyataan provokatif mereka. Maka keputusan menggugurkan mereka dilihat lebih selamat bagi memastikan ketepatan tinjauan. 

Perincian tinjauan rambang ialah seperti berikut;

179 – jumlah ditemui

150 – jumlah direkodkan

29 – tidak mahu mengambil bahagian

135 – jumlah penyokong-penyokong dan ahli-ahli UMNO

15 – digugurkan

Pecahan mengikut umur;

18 hingga 25 tahun – 13 orang 

26 hingga 30 tahun – 18 orang 

31 hingga 40 tahun – 42 orang 

41 hingga 50 tahun – 47 orang

51 tahun dan ke atas – 15 orang 

Jumlah pengundi pertama dan kedua;

18 orang – pengundi kali pertama

39 orang – pengundi kali kedua

78 orang – pengundi kali ketiga dan seterusnya

Pecahan 135 responden dalam kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO;

127 – bukan ahli UMNO (94%) 

8 – ahli-ahli UMNO (6%) 

Pecahan akan mengundi Khairy;

121 daripada 127 responden (95%) tidak akan mengundi Khairy – sama ada tidak keluar mengundi atau merosakkan keras undi – pilihan masih belum dimuktamadkan

Baki 6 responden (5%) masih berfikir dan mengambil pendirian “tunggu sehingga hari pengundian” 

5 daripada 8 responden (62.5%) yang mengaku sebagai ahli UMNO akan tetap mengundi Khairy atas semangat UMNO-Barisan Nasional 

Baki 3 (37.5%) daripadanya tidak mahu mengundi Khairy tetapi tidak menyatakan apakah pilihan mereka kelak

Sebagai rekod, tinjauan rambang ini dilakukan di kawasan Kota Damansara, kawasan bersebelahan Subang Perdana, Subang Bestari, Kampung Melayu Subang, Elmina, Denai Alam dan lain-lain berdekatan, sehingga ke jalan utama Sungai Buloh-Kuala Selangor, merangkumi Paya Jaras, Merbau Sempak, Kubu Gajah, Kuang, Saujana Utama dan berakhir di Puncak Alam, bagi mencari pengundi-pengundi putih di P.107 Sungai Buloh. Kebanyakannya dalam kalangan pengundi kedua dan dewasa sehingga usia 57 tahun direkodkan. Peratusan kaum atau etnik pula ialah 100 peratus berbangsa Melayu. 

Cabaran tinjauan ialah bagi memastikan siapa pengundi-pengundi putih UMNO-Barisan Nasional, selain terlalu ramai yang ditemui merupakan warga Indonesia yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dan kononnya mempunyai kad pengenalan, selain terbuka menyokong Pakatan Harapan. Pihak kami tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan mereka dan oleh itu ia langsung tidak direkodkan. 

Kesimpulannya, tinjauan rambang ini bukanlah pandangan keseluruhan di P.107 Parlimen Sungai Buloh kerana peratusan yang ditemui adalah terlalu kecil. Namun ia hanyalah gambaran mengenai sikap penerimaan pengundi-pengundi putih terhadap Khairy Jamaluddin dan bukannya atas isu calon luar atau anak tempatan. Bagi pengundi-pengundi putih, asalkan UMNO-Barisan Nasional, mereka tidak mempunyai masalah untuk memilih walau calon daripada luar. Cuma dalam isu Khairy, perbezaan ketara ini dapat dilihat. 

Sebagai rekod, Khairy mengatakan beliau tidak mengambil mudah di kerusi Parlimen yang ditandinginya kerana penyandang lama iaitu R. Sivarasa daripada PKR-Pakatan Harapan memperoleh 43,631 undi. Hatta digabungkan undi yang diperoleh oleh calon PAS (16,977 undi) dan UMNO (16,681), kedua-duanya tetap tidak mampu menyaingi jumlah undi yang diperoleh Sivarasa. Sungguhpun begitu Khairy tetap menyifatkan Parlimen Sungai Buloh yang merangkumi hampir 70 peratus pengundi Melayu adalah sebagai “kerusi amat selamat” buatnya walaupun Pakatan Harapan menang besar sebelum ini.

Justeru tentu Khairy mempunyai strategi tersendiri terutamanya bagi mengatasi jumlah majoriti 26,000 undi yang diperolehi oleh Sivarasa berbanding yang diperolehi oleh calon UMNO yang kalah di PRU-14 lepas. Mungkin strategi Khairy boleh dijadikan modul untuk diterapkan di Parlimen-parlimen lain yang kalah sebelum ini.

Apapun, semoga UMNO-Barisan Nasional menang besar di seluruh negara agar dapat ‘undo‘ apa sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional selama 22 dan 17 bulan memerintah. In Sha Allah. 

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts