Keputusan melantik Datuk Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat dengan 147 undian berbanding hanya 74 di pihak Perikatan Nasional bukan sahaja membuktikan keabsahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 malah sebagai ‘pukulan’ kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin yang dilihat sangat angkuh.
Diharapkan keabsahan ini tidak lagi dicabar bagi membolehkan kerajaan mengekalkan stabiliti politik dan ekonomi, sekaligus membawa kemajuan kepada negara dan keharmonian kepada rakyat seluruhnya.
Selain itu, Datuk Ramli Nor dan Alice Lau pula dilantik Timbalan Speaker Dewan dengan masing-masing memperoleh 148 dan 146 undian mengatasi calon Perikatan Nasional yang hanya mendapat 74 undian.
Diharapkan Kerajaan Perpaduan ini bukan hanya beretorik memajukan negara tetapi komited melaksanakan tugas demi memulihkan kembali negara yang teruk menjunam pasca PRU-14 lepas sehingga menyaksikan tiga kali Perdana Menterinya ditukar. Mana-mana isu yang melingkari perundangan negara dan nampak tidak adil di mata rakyat juga diharapkan dapat diperbetulkan segera sebelum ia membarah dan golongan elit tertentu terus menguasainya.
Semoga kerajaan juga telus melaksanakan projek-projek yang memberi manfaat untuk rakyat, tidak diselubungi oleh mana-mana kontroversi hubungan dengan negara luar yang dicurigai serta tetap mengutamakan agama, bangsa dan negara dalam apa jua urusan tadbir urusnya selepas ini.