KENYATAAN MEDIA MTUC MENGENAI PEMBERHENTIAN PEGAWAI KONTRAK LHDN

216
SHARES
697
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA

958 PEKERJA LHDN AKAN DI BERHENTIKAN

1) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerima aduan bahawa 958 pekerja LHDN akan diberhentikan kerja menjelang 1 Januari 2023. Berita pembuangan mereka adalah tragedi kepada pekerja di Malaysia kerana pemberhentian dilakukan oleh majikan di bawah kerajaan Malaysia. Pekerja ini menerima gaji sebanyak RM65 sehari dan secara kasarnya lebih kurang RM1600 sebulan. Kesemua mereka adalah rakyat Malaysia yang turun mengundi untuk memilih kerajaan pada 19 November 2022.

2) MTUC terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN yang tidak memikirkan nasib pekerja bawahan. Pengurusan sanggup membuat keputusan yang dangkal dan menyerlahkan pengurusan telah hilang rasa perikemanusian kepada pekerja B40.

3) Pekerja ini telah berkhidmat dengan LHDN antara 2 tahun hingga 16 tahun dan telah menjalankan khidmat kepada negara dengan baik. Adakah mereka diberhentikan kerana mereka adalah golongan bawahan yang tidak akan bertindak balas dan hanya merayu kepada golongan atasan?

4) Adakah pengurusan telah mendapat nasihat daripada YAB Perdana Menteri atas keputusan ini kerana MTUC yakin bahawa YAB Perdana Menteri tidak akan bersetuju dengan pembuangan ini. YAB Perdana Menteri adalah tokoh pejuang golongan bawahan.

5) Pengurusan tidak pernah mengadakan perjumpaan atau berbincang dengan wakil pegawai kontrak yang terlibat dalam perbuangan. Pengurusan LHDN menunjukan sikap angkuh dan sombong dalam menangani soal jaminan pekerjaan. Walaupun LHDN bukan pejabat kebajikan yang memberi khidmat kepada penganggur tetapi LHDN perlu menunjukan rasa simpati kepada golongan bawahan dengan mengekalkan pekerjaan mereka.

6) MTUC berharap pembuangan pekerja oleh LHDN bukan cerminan kepada sikap semua pengurusan di GLC dan GLIC. MTUC risau jika amalan ini menjadi ikutan kepada syarikat swasta atas alasan majikan di bawah kaitan kerajaan boleh melaksanakan pembuangan secara tidak bertanggungjawab. Sepatutnya pengurusan menguruskan bekas pekerja ini dengan menempatkan atau mencari peluang pekerjaan di tempat lain. Pelan kebajikan pekerja selepas pemberhentian perlu difikirkan oleh pengurusan LHDN.

7) MTUC juga mahu YAB Perdana Menteri mengkaji gaji pengurusan tertinggi semua agensi badan berkanun, GLC dan GLIC. Maklumat yang dipercayai memaklumkan bahawa pengurusan tertinggi mendapat gaji sehingga RM80 hingga RM100 ribu sebulan. Jika dibandingkan dengan gaji bawahan adalah sebanyak 30 hingga 40 kali ganda. Jurang gaji yang terlalu besar adalah permasalahan negara yang menunjukkan tadbir urus yang bermasalah.

8) Kerajaan boleh menjimatkan dana negara dengan mengurangkan jurang gaji antara pengurusan dan pekerja bawahan. Pengambilan bakat baru dalam pengurusan dengan gaji yang munasabah adalah langkah tepat untuk reformasi pertadbiran di syarikat badan berkanun, GLC dan GLIC.

9) MTUC juga mengharapkan kerajaan melakukan reformasi dalam syarikat badan berkanun, GLC dan GLIC dengan meletakkan wakil pekerja di dalam ahli lembaga supaya kebajikan dan faedah pekerja diambil kira. Memasukkan wakil pekerja dalam pengurusan seperti mana di negara Belgium adalah reformasi dalam pekerjaan yang membawa kebaikan kepada syarikat, negara dan pekerja secara keseluruhannya.

10) Cara dan pemikiran pengurusan tertinggi dalam syarikat perlu diubah selari dengan pemikiran kerajaan baharu. Kebajikan pekerja bawahan perlu diutamakan dan pengurusan yang sombong dan angkuh perlu disingkirkan supaya matlamat YAB Perdana Menteri untuk menjaga pekerja bawahan tidak terganggu. Jangan menjadi beban pada reformasi kerajaan baharu.

11) Sebagai Pusat Buruh Kebangsaan yang membela nasib pekerja di Malaysia, MTUC akan bersama dengan 958 pekerja untuk hadir di Kementerian Kewangan untuk merayu kepada YAB Perdana Menteri agar pemberhentian ditarik balik. MTUC berkeyakinan dengan campur tangan YAB Perdana Menteri untuk mendengar rintihan dan keluh kesah pekerja akan memberikan sinar pada tahun 2023 nanti.

12) MTUC memohon untuk mengadakan perjumpaan dengan YAB Perdana Menteri untuk mendapat nasihat dan pandangan YAB. MTUC yakin idea dan matlamat YAB untuk membangunkan negara tanpa menjejaskan kaum pekerja adalah keutamaan kerajaan.

KAMARUL BAHARIN BIN MANSOR SETIAUSAHA AGUNG

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts