CABARAN MEMPERKASA BAHAGIAN PENYELIDIKAN, MENGUKUHKAN KESELAMATAN NEGARA

214
SHARES
689
VIEWS

Insiden rakyat negara ini yang terdiri daripada beberapa anak muda direkrut oleh agensi perisikan Israel, MOSSAD, bertujuan menjalankan aktiviti penculikan dan interogasi terhadap warga Palestin, telah menggemparkan negara sebelum ini. Sama seperti isu keganasan rentas sempadan di Lahad Datu, Sabah sebelum ini yang mengorbankan sembilan anggota keselamatan negara apabila perairan negara diceroboh oleh pengganas Sulu, di mana permasalahan berulang ini menuntut satu penyelesaian tuntas. Sama ada agensi risikan sedia ada perlu diperkasa atau asetnya termasuk sistem pemantauan dan anti keganasan dapat ditambah baik, atau satu sistem yang jauh lebih baik dapat dibangunkan. 

Ini kerana teknologi maklumat dan aspek keselamatan siber juga telah berubah secara drastik beberapa tahun kebelakangan ditambah dengan cabaran semasa yang melibatkan artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan. Malah perkembangan media sosial juga semakin merumitkan komuniti keselamatan dan perisikan dalam menangani ancaman domestik dan keganasan rentas sempadan.

Jika sebelum ini negara dipercayai penuh oleh negara luar dan rakan serantau untuk membangunkan dan menerajui program anti keganasan rentas sempadan melalui sistem pemantauan dan anti keganasan yang unik dan tersendiri, maka ketika ini dilihat ia sangat diperlukan, sama ada diperkasa atau ditambah baik sesuai dengan cabaran dunia semasa yang semakin jauh merentasi sempadan.

Selain itu, diharapkan dengan bantuan ‘humint‘ atau human intelligence mampu melaksanakan sebarang operasi di bawah program sedia ada atau membangunkan sistem baharu yang amat perlu bagi memantau dan mengatasi sebarang ancaman dalam dan luar negara. Ini kerana Malaysia ketika ini dilihat sebagai ‘hub‘ popular dan ‘selamat’ oleh komuniti perisikan bagi menjalankan pelbagai operasi mereka tanpa kekangan termasuklah melaksanakan aktiviti ‘black ops‘ yang turut melibatkan pembunuhan.

Contoh terbaik ialah dalam isu yang melibatkan seorang pensyarah warga Palestin, Dr. Fadi Al Batsh yang dibunuh selepas menunaikan solat Subuh pada 21 April 2018, dipercayai dilakukan oleh anggota MOSSAD di negara ini. Selain itu, pembunuhan Kim Jong-Nam, anak sulung kepada bekas Supreme leader Kim Jong-il, yang juga abang tiri kepada Presiden Korea Utara Kim Jong-Un, pada 13 Julai 2017 – dilakukan di negara ini oleh ejen perisikan negaranya sendiri turut menimbulkan kegemparan dan sewajarnya komuniti keselamatan dan perisikan mula membuka mata bagi menangani isu ini dengan lebih serius. 

Ini kerana sangat jelas bahawa negara sedang berdepan dengan realiti yang menakutkan apabila beberapa agensi perisikan asing sebegitu berani melaksanakan aktiviti black ops mereka di negara ini, sedangkan keberadaan mereka ini sepatutnya dalam pemerhatian dan pemantauan penuh agensi tertentu. Selain membuktikan tiada sekelumit hormat kepada negara ini, ia juga sepatutnya ‘trigger‘ apa jua kelemahan dalam ‘maklumat silang’ mana-mana agensi keselamatan negara termasuklah bahagian penyelidikan yang sepatutnya tahu lebih awal dan memaklumkan pihak yang lain agar sentiasa berwaspada.

Dalam isu warga Palestin cuba diculik oleh ejen MOSSAD, tindakan pantas cawangan khas wajar dipuji atas kelemahan humint yang dilatih MOSSAD tersebut namun selepas ini jika ada sebarang operasi melibatkan black ops mereka, pasti anggota MOSSAD sendiri yang akan dihantar untuk melaksanakannya. Ini kerana cubaan pertama mereka mewujudkan rangkaian humint atau ejen di negara ini telah gagal, analisa mereka jauh tersasar dan kelemahan ini wajar dimanfaatkan oleh komuniti keselamatan dan perisikan negara dengan memperkasa sistem sedia ada demi untuk melindungi kedaulatan negara.

Mungkin kita terlepas pandang atau memandang remeh amaran yang dibuat oleh Israel sebelum ini selepas insiden memalukan pertahanan negara mereka apabila diserang oleh ‘cytro-netizen‘ Malaysia yang memprotes tindakan Israel menyerang Palestin. Dalam isu ini jelas badan penyelidikan mereka iaitu The Meit Emir Intelligence And Terrorism Information Centre (ITIF) pada 21 Julai 2021 sendiri terkhilaf dengan memberikan maklumat kurang tepat dalam sebuah laporan 20 halaman bertajuk, “Social Media Attacks On Pro-Israel Accounts During Operation” Guardian of the Walls” Malaysian Cyber Warfare” dalam menyimpulkan serangan netizen negara.

Malahan propagandis Israel Emily Schrader yang didukung kuat oleh IDF turut mengecam keras tindakan cytro-netizen negara kita yang mewujudkan fenomena ‘#Israelkoyak‘, iaitu insiden yang amat memalukan negara penjajah itu. Tidak lama kemudian mereka mengeluarkan ancaman “akan bertindak terhadap suspek atau target tertentu di rantau ini termasuklah Malaysia” yang mendapat liputan meluas media ketika itu. Kejadian ini berkemungkinan besar sudah dilupakan sehinggalah kisah ejen MOSSAD direkrut itu muncul di dada-dada akhbar. Ini tentu mengingatkan kita kembali kepada amaran yang telah dibuat lebih setahun lepas.

Selain itu, tindakan berani agensi asing melakukan operasi sulit di negara ini jika tidak membuktikan kelemahan dalam mendapatkan dan menyaring maklumat termasuk rantaian intel negara, ia juga menunjukkan aspek humint-nya tidak bersedia atau tidak dikoordinasikan dengan baik. Dalam insiden Lahad Datu juga boleh dijadikan iktibar atas kelemahan yang melibatkan elemen pendataan iaitu intel dan rangkaiannya serta masalah humint, sebagai punca kelemahan sumber manusianya. Sama ada salah satunya pincang ataupun kesemuanya sekali.

Walaupun ia kadangkala dinafikan namun dalam setiap insiden ataupun kejadian yang berlaku melibatkan keselamatan negara dan serantau, penafian ialah pilihan terakhir yang perlu dilakukan. Itupun atas tujuan melindungi sumber atau  humint. Seperti insiden serangan yang berlaku di Kedutaan Amerika Syarikat di Benghazi, Libya pada tahun 2012 yang menyaksikan pihak agensi perisikan Israel, MOSSAD lebih awal mengetahui serangan tersebut secara terperinci namun memilih untuk melindungi maklumat intel dan humint mereka. Walaupun akhirnya terpaksa membiarkan kedutaan Amerika Syarikat diserang, sehingga mengorbankan J. Christopher Stevens, duta AS ke Libya. Dalam isu Lahad Datu, sekiranya ada maklumat awal tentu lebih mudah ia dikongsikan bersama komuniti keselamatan dan perisikan lainnya, bertujuan mengelakkan konfrontasi ataupun bencana hasil dari kelemahan perisikan. 

Sebagai tambahan, isu kelemahan dalaman agensi yang melibatkan elemen ‘compromise‘ juga wajib dielakkan, ini termasuklah isu sabotaj dan membocorkan rahsia perisikan negara yang hebat berleluasa sejak 2018. Sepatutnya apa sahaja yang diperolehi oleh komuniti ini sama ada melalui sistem anti keganasan, rujukan silang maklumat intel yang boleh dikongsikan bersama pihak lain serta agensi luar, ataupun bersumberkan humint-nya, ia sepatutnya disimpan rapi untuk dianalisa dan tindakan seterusnya.

Namun apa yang berlaku sejak 2018 apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang dan digantikan dengan Pakatan Harapan, siri sabotaj dan membocorkan rahsia negara oleh pegawai-pegawainya sendiri serta melaksanakan agenda peribadi seperti ‘witch-hunt‘ dan mewujudkan ‘war room‘ bagi pihak lain selain Perdana Menteri, semakin menjadi-jadi dan melampau. Ini yang sepatutnya menjadi penanda aras atau KPI bagi setiap Ketua Pengarahnya agar rahsia negara tersimpan rapi sehinggalah ia diperlukan bagi mengatasi ancaman terhadap negara. 

Ini sekaligus dapat mengukuhkan kembali rangkaian intel dalam dan luar negara serta memperkasa sumber manusianya (humint) sedia ada serta mampu mengembalikan kepercayaan sesama agensi agar matlamat dan fungsi utamanya sejak 1960an dapat dikembalikan. Amat mendukacitakan apabila agensi utama perisikan negara yang menjadi ‘tulang belakang’ keselamatan dan kedaulatan negara dan beroperasi di belakang tabir selama ini, bukan sahaja ketuanya disasarkan apabila kerajaan tumbang, malah rakan-rakan sekerja sendiri yang tidak bersalah turut ‘dikorbankan’.

Berbanding mereka yang selama ini bertungkus lumus menjaga keselamatan dan kedaulatan negara menjadi mangsa kempen witch-hunt tetapi pelakunya masih dibenarkan bertugas di negara jiran. Bukankah ini juga termasuk dalam elemen ‘compromise‘ kerana bukankah negara sepatutnya khuatir apabila pembocor maklumat negara masih dibenarkan bertugas di kedutaan luar negara?

Apapun, agensi tersebut yang baru sahaja mendapat Ketua Pengarah keempat pasca 2018 perlu berjiwa besar berbanding tiga ketua pengarah sebelumnya demi memastikan dalang yang terlibat sebagai pensabotaj jabatan dan membocorkan rahsia negara itu terus disingkirkan bukan sahaja daripada agensi tetapi juga penjawatan awam. Ini wajar dilakukan agar mereka ini tidak lagi dapat mengambil kesempatan dan mengulangi perkara yang sama sekiranya negara berdepan dengan senario kerajaannya bertukar sekali lagi.

Semoga Ketua Pengarahnya yang baharu dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara pada 17 Januari lepas dapat memastikan mana-mana elemen sabotaj dan membocor rahsia negara selama ini dibanteras sepenuhnya, sekaligus memartabatkan kembali agensi perisikan negara seperti sedia kala. Diharapkan tiada lagi elemen negatif di agensi yang boleh merencatkan sebarang operasi atau pembinaan sistem pemantauan dan anti keganasan – seperti yang pernah berlaku sebelum ini sehingga berkemungkinan menjejaskan keselamatan negara.

Akhir sekali, semoga agensi yang pernah menjadi tempat rujukan bagi agensi-agensi lain di rantau ini dapat segera dipulihkan, bermula dengan ‘pembersihan’ dalaman yang sudah terlalu lama dibiarkan. Kepada Ketua Pengarah baharunya, selamat bertugas diucapkan dan semoga diberi kekuatan untuk menerajui agensi dan memulihkan maruahnya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts