KISAH ISMAIL SABRI YANG ‘BAIK’ DAN ‘SUCI’

360
SHARES
2.1k
VIEWS

Perbezaan antara Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin hanya satu iaitu seorang sudah dipecat dan seorang lagi masih selamat. Selain daripada itu mereka sama sahaja, iaitu menyokong Mahiaddin dan Perikatan Nasional serta terlalu kerap membelakangkan parti sendiri. Mereka juga tidak menghormati pemimpin parti, malah kerap mengkritik Presiden secara terbuka, selain kedua-duanya kerap berlagak ‘baik’ dan ‘suci’. 

Mereka berdua terutamanya Khairy tidak pernahpun bersolidariti dengan UMNO sejak parti itu tumbang malah dilihat suka menjarakkan diri. Ismail pula sengaja melengah-lengahkan pembubaran Parlimen sehingga menjejaskan parti sendiri.

Malah hal ini ada dinyatakan dalam perjanjian sulit bersama Mahiaddin-PN, di mana pembubaran Parlimen perlu dirujuk kepada Perikatan Nasional terlebih dahulu. Antara perjanjian lain termasuklah mempercepatkan kes mahkamah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Butiran yang sama juga didapati pada dokumen PASleak yang dibocorkan. 

Selain itu, Ismail juga pernah meminta rakan baiknya, seorang Datuk Seri untuk mewujudkan satu ‘team‘ khusus untuk memastikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Rakan baiknya itu juga mengaku mengupah seorang blogger yang menetap di luar negara di mana antara tugasannya ialah untuk merosakkan reputasi dan menuduh pemimpin-pemimpin tertentu UMNO termasuk Zahid dan Tok Mat Hasan. 

Malangnya kumpulan ini gagal apabila Ismail sendiri tidak mahu patuh dengan cadangan yang dikemukakan kerana tidak setuju dengan pendekatan berunding secara hikmah bersama pemimpin UMNO lainnya. Beliau juga tidak setuju Tok Mat dicadangkan sebagai Timbalannya. Selain itu, salah seorang orang kuat Ismail bergelar Tan Sri dalam kumpulan tersebut akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam UMNO apabila penglibatannya diketahui. Ini juga memudahkan gerakan ‘pembersihan’ yang kemudiannya dilakukan UMNO selepas PRU-15, di mana Ismail Sabri sepatutnya bersyukur beliau terselamat. 

Mungkin agak memalukan Ismail apabila rakannya yang mengupah blogger itu kini mengubah ‘kiblat’ dan cuba menonjolkan dirinya sebagai “orang Anwar Ibrahim” termasuk mengikutnya ke negara jiran baru-baru ini. Sedangkan rakannya ini dahulu dikenali sebagai “orang Tun Mahathir” sebelum beralih menjadi “orang Mahiaddin” dan kemudiannya barulah menjadi “orang Ismail Sabri”. Oportunis sebegini menjadikan Ismail bukan terlihat baik, tetapi terlihat licik dan sanggup melakukan apa sahaja demi kekal berkuasa. 

Justeru jika selepas ini Ismail Sabri masih mahu mengaku dirinya baik, beliau perlu berfikir banyak kali sebelum butiran kumpulan dan rakannya yang membayar blogger itu didedahkan. Jangan lupa di zaman teknologi hari ini, segala kemungkinan itu ada termasuk rakaman pertemuan di pejabat rakannya di The Curve, Mutiara Damansara – yang juga disertai oleh seorang ahli perniagaan Cina yang rapat dengan Ismail Sabri.

Individu ini juga tanpa segan silu berkata mahu mengatur beberapa individu masuk ke Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri. Alhamdulillah, mujurlah percaturannya itu tidak disambut baik dan akhirnya senyap begitu sahaja. 

Justeru, jika inilah nilai terpuji Ismail Sabri, maka lupakan sahajalah. Lebih baik mengaku baik di depan anak cucu yang tidak tahu apa-apa daripada diketawakan rakyat yang bakal tahu kisah sebenarnya. Sedikit nasihat buat Ismail Sabri, sudah-sudahlah ‘merapu’ untuk memastikan diri anda kekal relevan dalam parti.

Berpada-padalah dan bersyukur bahawa anda masih tidak digantung atau dipecat daripada parti. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts