Teknologi pada hari ini semakin berkembang dan berevolusi dari masa ke masa. Pelbagai inovasi dihasilkan seiring dengan perkembangan teknologi pada hari ini. Antara teknologi dalam dunia pendidikan yang mendapat perhatian dan semakin diminati adalah seperti realiti terimbuh (Augmented Reality). Pengalaman AR ini telah menjadi satu trend yang sangat ketara dan dianggarkan tahun 2023 ini terdapat 2.4 bilion pengguna mudah alih AR di seluruh dunia (Sinha, 2021).
Realiti terimbuh (AR) bermula sekitar tahun 60-an dan sistem AR yang pertama diperkenalkan adalah U.S Air Force, Wright-Patterson Air Force Base (1992). Kini AR telah mula menjadi salah satu trend dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang pendidikan. Reliti terimbuh (AR) adalah teknologi di mana pengguna mengalami suatu pengalaman maya dalam bentuk 2D atau 3D. Melalui teknologi AR ini, pelajar dapat merasai pembelajaran yang berbeza kerana adanya gabungan objek termasuklah teks, gambar dan animasi. Aspek peratusan pengalaman AR yang dirasai oleh pengguna adalah merangkumi sekitar 25 peratus realiti digital dan 75 peratus realiti sedia ada.
Teknologi AR berperanan penting dalam bidang pendidikan kerana didapati pelajar di sekolah, politeknik, atau universiti agak sukar untuk melihat sesuatu maklumat secara teori tanpa sebarang visual yang boleh dikaitkan. Maka, dengan teknologi AR ini, pelajar dapat memahami sebarang konsep pembelajaran dengan cepat melalui paparan format 3D. Namun, keperluan AR seperti mempunyai rangkaian internet, peranti seperti telefon pintar atau tablet dan aplikasi AR perlu ada untuk tujuan pembelajaran.
Antara contoh implementasi AR dalam pendidikan ialah aplikasi ‘360cities’ membolehkan guru dan pelajar membuat lawatan maya ke tapak sejarah di seluruh dunia. Aplikasi ‘AR Photomath’ pula membolehkan pelajar mengimbas soalan matematik dan seterusnya pengguna boleh mengetahui jalan pengiraan dan penyelesaian soalan tersebut secara animasi di alam maya.
Manakala Aplikasi ‘AR Books’, boleh menjadi pilihan untuk guru dan pelajar sebagai tambahan kepada buku elektronik atau ‘kosher CDs’. Selain itu, pelajar perubatan boleh mempelajari anatomi dan berlatih memeriksa badan dengan aplikasi AR yang mewakili tubuh manusia sama ada di dalam atau luar. Antara contoh dalam bidang lain, aplikasi ‘Dinosaur 4D+’ dengan set kad imbas untuk membolehkan pengguna melihat dinosaur 3D apabila pengguna mengimbasnya melalui kad. Aplikasi ini juga mempunyai maklumat tentang setiap dinosaur yang dipaparkan.
Maka, implementasi AR dalam pendidikan bukan sahaja membantu mengurangkan masa pembelajaran kerana penerangan sesuatu maklumat untuk sesuatu objek turut dipaparkan dengan ringkas dan padat kepada pelajar yang menggunakannya. Perubahan paling ketara apabila AR diimplementasi dalam pendidikan adalah penglibatan pelajar lebih ramai berbanding pembelajaran secara tradisional. Ini dapat disimpulkan bahawa, penggunaan AR dalam pendidikan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih interaktif, menarik dan menyeronokkan (Yusof et al, 2022).
RUJUKAN:
Anonymous (2021, October 29). Using Augmented Reality in Education: Key Concepts and Benefits. Program-Ace. https://program-ace.com/blog/augmented-reality-in-education/
Sinha, S. (2021, January 2). Augmented Reality in Education: A Staggering Insight into The Future. eLearning Industry. https://elearningindustry.com/augmented-reality-in-education-staggering-insight-into-future
Yusof, A. S., Jima’ain, M. T. A. @, Rahim, S. A., & Abuhassna, H. (2022). Implementation of Augmented Reality (AR) in Malaysian Education System. International Journal of Academic Research in Progressive Education and Development, 11(3), 1207 – 1216.
Oleh:
Ts. Norhanisha Yusof
Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.
Azrayhafizi Matzin
Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.