ASYRAF CAMPUR TANGAN PEMILIHAN PEMUDA UMNO?

206
SHARES
664
VIEWS

Kempen pemilihan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kali ini dicemari isu campur tangan pihak atasan, sebagaimana menjadi perbualan ramai ahli.

Antara yang disebut-sebut memainkan peranan besar dan amat aktif adalah Datuk Dr .Asyraf Wajdi. Beliau yang akan tamat tempoh jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO, dilihat menjadi pencatur kepada pasukan calon tajaannya iaitu Dr. Muhamad Akmal Saleh dan calon Naib Ketua, Mohd. Hairi Mohd. Shah.

Semalam sudah tersebar poster Akmal sebagai calon Ketua Pemuda dan barisan calon exco, yang Asyraf sokong penuh. Barisan ini dikatakan turut direstui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beberapa calon Exco Pemuda UMNO yang enggan nama mereka disiarkan, inilah yang menimbulkan rasa tidak senang dan keresahan ramai ahli akar umbi di seluruh negara.
Persoalannya mengapa harus diadakan pemilihan Pemuda UMNO jika terdapat campur tangan dan arahan daripada pihak atasan untuk memenangkan calon mereka?

Adalah lebih baik buat lantikan sahaja daripada merobek demokrasi dalam pemilihan yang sewajarnya sihat, tertib dan berintegriti.

‘’Sepatutnya biarlah ahli Pemuda membuat pemilihan mereka sendiri tanpa pengaruh dan desakan mana-mana pemimpin,“ kata seorang calon Exco dari Selangor.

Hak berkempen untuk semua calon perlu diberikan secara adil. Janganlah pengurusan Pemuda UMNO pusat mengadakan program tertutup dan hanya calon tajaan sahaja dijemput serta dibenarkan berucap. Pemuda UMNO mesti menghormati sejarah kepimpinan sayap parti itu yang mendokong demokrasi dalam pemilihan.

Lebih menyedihkan terdapat gejala mengugut dan mengenakan tekanan ke atas perwakilan sebagaimana didedahkan oleh seorang calon kelmarin. Pada masa yang sama, kumpulan calon tajaan Asyraf, terus digembar-gembur telah mendapat restu Presiden parti, (yang telah menang tanpa bertanding).

Strategi sebegitu tidak akan membantu calon tajaan sebaliknya boleh ‘backfire’. Dalam usaha untuk menjayakan pasukan tajaan tersebut, calon-calon lain yang berpotensi dan mempunyai rekod yang baik, diberi label-label tertentu. Ini gejala yang tidak sihat selain tidak benar serta mengelirukan para perwakilan.

Isu yang turut dimainkan adalah had umur 40 tahun bagi jawatan Ketua Pemuda, yang melibatkan calon pesaing kepada Akmal. Sebelum ini, usul had umur 40 tahun bagi jawatan Ketua Pemuda dicadangkan untuk dibahaskan pada persidangan Pemuda UMNO yang lepas tetapi ditolak oleh Asyraf kerana beliau mahu mempertahankan jawatannya pada ketika itu.

‘’Sekarang isu itu dimainkan hanya disebabkan calon tajaan Asyraf bagi jawatan Ketua Pemuda berusia bawah 40 tahun. Apakah ini adil, harmoni dan bijak?” menurut seorang lagi calon Exco dari Perak.

Selain Akmal, dua calon utama bagi jawatan Ketua Pemuda adalah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Dewan Negara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah. Setakat ini, Shahar dilihat mempunyai peluang lebih cerah dan mendahului dari segi rating berbanding calon lain.

Sementara itu, malam ini, Asyraf secara terbuka melalui Facebook menyokong Akmal dan Hairi. Akmal adalah Exco kerajaan negeri Melaka manakala Hairi Exco kerajaan Johor. Ia mengesahkan lagi cakap-cakap dan desas-desus tentang peranan beliau dalam pemilihan Pemuda UMNO kali ini.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts