KISAH ISMAIL SABRI DAN KAHWIN PAKSA

356
SHARES
2.1k
VIEWS

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melatah lagi dengan menyatakan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ini seumpama “kahwin paksa”. Mungkin beliau geram dan melatah kerana tiada siapa beri jawatan kepadanya walaupun mempunyai pengalaman dan jasa besar sebagai Perdana Menteri, walaupun tidak sampai 14 bulan.

Beliau berjasa besar terutamanya kepada Perikatan Nasional kerana walaupun pemerintahannya singkat, namun beliau dikenali sebagai Perdana Menteri yang berjaya memenjarakan anak negarawan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Di mana hukuman yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 ini diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan seterusnya disempurnakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya. Sungguh besar ‘jasa’nya itu kepada Perikatan Nasional. 

Selain itu, mungkin maksud beliau kerjasama kahwin paksa ini ialah usaha oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mencemar duli menyelesaikan masalah ahli politik Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang gagal membentuk kerajaan walaupun kedua-duanya mempunyai jumlah kerusi terbesar. Istilah yang digunanya ini walaupun tersasar tetapi bolehlah diterima jika mahu menjaga hatinya. 

Walaupun hakikatnya Ismail Sabri lupa bahawa Mahiaddin yang diikut telunjuknya itulah yang menolak mentah-mentah cadangan baginda untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan, bahkan dilakukannya secara angkuh dan biadap. Mungkin Ismail Sabri sengaja atau buat-buat lupa mengenai tindakan Mahiaddin ini dan masih suka memperlekeh partinya sendiri kerana berasa terhutang budi kepada Mahiaddin. 

Ismail Sabri juga lupa bahawa istilah kahwin paksa ini lebih tepat berlaku kepada UMNO ketika beliau menjadi Perdana Menteri apabila rela menjadi boneka kepada Mahiaddin dan Perikatan Nasional.

Di mana Presiden dan partinya sendiri terpaksa menelan pahit apa jua perlakuannya yang menyakitkan hati dan merugikan UMNO. Bahkan ketika partinya teruk tersepit serta pemimpin-pemimpinnya dibuli Perikatan Nasional, di manakah Ismail Sabri ketika itu?

Tidak mungkin Ismail Sabri lupa beliau dengan sengaja melengah-lengahkan pembubaran Parlimen yang menjadi punca utama partinya kalah teruk di PRU-15. Beliau juga tidak boleh buat-buat lupa perjanjian sulit yang ditandatanganinya bersama Mahiaddin, yang sehingga kini masih takut didedahkannya. Jika berada di pihak yang benar, apa kata Ismail Sabri dedahkannya untuk tontonan umum? 

Apapun alasannya, beliau tidak boleh lupa bersyukur kepada Allah Taala kerana masih diberi laluan oleh Presiden UMNO untuk bertanding menjadi Ahli Parlimen. Malah Ismail Sabri tidak boleh lupa bersyukur tidak dibuang atau dipecat daripada UMNO seperti pemimpin-pemimpin lain yang bertindak membelakangi Presiden dan parti seperti yang dilakukannya.

Justeru, bermuhasabahlah Ismail Sabri, jangan asyik lihat kesalahan orang lain sedangkan diri sendiri terpalit dengan pelbagai isu. Cukup-cukuplah cuba promosi “kahwin paksa” antara UMNO dan Perikatan Nasional, kerana tiada siapa mahu anda jadi Perdana Menteri sekali lagi. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts