Nama Tun Daim Zainuddin terus menjadi sebutan ramai terutama dalam politik dan perniagaan. Ada sahaja isu yang dikaitkan dengan beliau termasuk perancangan dan percaturan politik.
Terbaru, Daim sekali lagi menjadi perhatian. Beliau didakwa antara tokoh yang sedang melakukan gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sejauh mana kesahihannya sukar di pastikan. Hanya Daim sahaja yang wajar menjawab persoalan ini.
Setakat ini, beliau berdiam meskipun desas-desas berlegar bahawa bekas Menteri Kewangan itu aktif mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai tokoh serta individu. Ia dipercayai berkaitan politik termasuk kerjasama dengan parti pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN). Apakah ini juga tindak balas Daim ke atas Anwar?
Walaupun sudah lanjut usia dan agak uzur, Daim dikatakan masih mempunyai kelebihan daripada segi pengaruh dan kekayaan. Ramai tahu bahawa hubungan Daim dan Anwar tidak berapa baik sejak era tahun 80an. Kedua-duanya saling mencurigai kerana Daim dan Anwar tidak sehaluan daripada segi politik.
Daim adalah sekutu utama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang dua kali menyandang jawatan itu. Sedangkan Anwar dipecat oleh Mahathir dan mereka berseteru sehingga wujudnya parti serpihan UMNO iaitu PKR. Kini PKR (bersama komponen PH) dan UMNO bergabung membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU-15.
Pada tahun lalu, Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang menarik perhatian apabila meminta Daim memberi penjelasan berhubung isu Pandora Papers atau Kertas Pandora. Ini ekoran kenyataan Daim yang mendesak beliau untuk berundur daripada politik.
Malah, Anwar percaya Daim semestinya tidak akan tidur lena seandainya beliau menjadi Perdana Menteri, mengambil kira pendedahan yang akan dibuat berhubung skandal Pandora Papers itu.
“Sudah tentu Tun Daim Zainuddin orang terakhir yang mahu melihat saya sebagai Perdana Menteri.“
“Saya jelaskan tidak ada perkara peribadi (antara kami berdua), namun saya tahu (apa yang berlaku dalam isu Pandora Papers) kerana saya mengambil alih Kementerian Kewangan selepas beliau,” menurut Anwar.
Pandora Papers adalah laporan yang mendedahkan senarai urus niaga membabitkan tokoh politik, ahli perniagaan dan selebriti yang membuka akaun di pusat kewangan luar pesisir di serata dunia. Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik berpengaruh, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan kekayaan mereka sejak 25 tahun yang lalu.
Apabila Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10, kes Pandora Papers telah dibuka dan Daim dipanggil memberi keterangan oleh SPRM berhubung siasatan skandal tersebut. Anwar juga dilaporkan berkata, beliau pernah mempersoalkan kepada Mahathir mengenai pelantikan Daim sebagai ketua penasihat ekonomi kerajaan pada 2018.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menjawab ia keputusannya kerana Daim boleh memberi nasihat. Di sebalik apapun latar belakang dan intrig politik, sudah sampai masanya Daim bersuara untuk memberi penjelasan.
Apakah benar beliau mahu menjatuhkan Anwar atau itu semua salah faham dan hanya gosip liar? Rakyat sedang menunggu. Penjelasan itu juga nanti dapat memberi peluang keadilan kepada Daim untuk mempertahankan diri.
Akhirnya nanti, biarlah rakyat yang membuat penilaian.