TRAGEDI LAHAD DATU SUKARKAN USAHA YAKINKAN PELABUR ASING KE PANTAI TIMUR SABAH

70
SHARES
225
VIEWS

Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, tragedi berdarah Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu masih memberi kesan kepada sektor ekonomi dan pelaburan di kawasan pantai timur negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee berkata perkara itu dapat dilihat apabila pelabur khususnya daripada Jepun dan Korea Selatan tidak dibenarkan untuk memasuki beberapa kawasan termasuk di kawasan pantai timur Sabah berdasarkan nasihat perjalanan diberikan.

Menceritakan pengalamannya menghadapi perkara itu, Yong yang juga Pengerusi Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah Sdn Bhd berkata beliau melihat sendiri pelabur dari Jepun dan Korea Selatan menunjukkan klasifikasi nasihat perjalanan kawasan pantai timur Sabah sebagai kawasan hitam.

Saya sendiri sudah nyatakan kepada mereka kawasan itu selamat untuk pergi dan melabur tetapi mereka tetap tidak mahu pergi, mereka boleh pergi ke kawasan itu namun risiko ditanggung sendiri manakala perbelanjaan serta tuntutan insurans tidak ditanggung jika apa-apa terjadi.”

Kawasan pantai barat seperti Kota Kinabalu, mereka pergi. Maka kita melihat walaupun kejadian di Lahad Datu sudah lama berlalu, ia masih memberi kesan kepada ekonomi Sabah khususnya sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac, mengakibatkan 10 perwira terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. 

Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata pada ketika ini tahap keselamatan di Sabah dalam keadaan yang terkawal dan memuaskan terutama dengan kewujudkan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Tahap keselamatan di Sabah pada ketika ini terkawal kerana ESSCom telah memainkan peranan dengan berkesan, namun kita kena ingat pihak luar sentiasa akan mengkaji segala operasi dan tahap keselamatan kita.” 

Kita tahu bahawa Sabah khususnya di kawasan pantai timur masih mendapat ancaman kemasukan anasir luar, pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam diadakan kerana kita lihat ESSCOM tidak mampu mengawal keselamatan pada waktu itu kerana kekangan aset dan sebagainya,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memandang serius usaha untuk memperkuatkan ESSCOM sehingga tidak perlu lagi melaksanakan perintah berkurung.

Saya selalu mencadangkan agar aset, keanggotaan dan peruntukan ESSCom di pertingkat sehingga satu tahap apabila aset dan keangotaan boleh beroperasi siang dan malam dengan berkesan tanpa adanya perintah berkurung.” 

Perintah berkurung sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas dan kemungkinan satu masa nanti ia tidak akan lagi berkesan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kunak Norazlinah Arif turut mengutarakan pendapat yang sama dengan menggesa pihak kerajaan untuk segera menaik taraf sistem keselamatan di Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi memastikan sektor ekonomi negeri itu tumbuh dengan pesat.

Kerajaan sudah membelanjakan banyak duit untuk melawan tuntutan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa waris Sulu dan adalah lebih baik sekiranya duit itu dibelanjakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Sabah sehingga satu tahap yang boleh meyakinkan rakyat dan pelabur luar,” katanya.

Bernama

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts