BEKAS PM MAHU JADI PERDANA MENTERI SEKALI LAGI?

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Desas-desus kerajaan mahu ditumbangkan sudah lama kedengaran. Benar ataupun tidak bukan lagi persoalan kerana ancaman sememangnya wujud dan menggusarkan. Gusar kerana rakyat sendiri melihat perkara ini tidak berhabisan dan berlanjutan, sejak lima tahun lepas. Perdana Menterinya silih berganti dan stabiliti semakin jauh dari realiti.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah pada 24 November 2023, rakyat menarik nafas lega kerana pertukaran kerajaan berlaku melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dan bukannya lagi melalui jalan pintu belakang ataupun tebuk atap.

Rakyat yang sudah cukup mual, menyampah dan letih melihat perilaku ahli politik yang mengalahkan anak-anak kecil berebut mainan, yang saling berebutan tidak berhabisan. Malah kanak-kanakpun sampai satu masa akan berhenti juga, tetapi ahli politik termasuk yang tua bangka masih mahu berebut kuasa. 

Inilah realiti politik Malaysia, asyik bertikam belakang dan tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mahukan kerajaan yang stabil dan tidak diganggu-gugat oleh ‘arkitek’ tebuk atap.

Sultan Johor juga sudah menzahirkan kegusaran baginda atas kemelut politik yang melanda, yang bergolak sehingga kini dek kerakusan masing-masing yang dikhuatiri akhirnya rakyat dan negara yang menjadi mangsa.

Kini muncul lagi nama ‘bakal’ Perdana Menteri lain bagi Perikatan Nasional, di mana jika Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak diterima maka bekas Perdana Menteri ini pula bakal mengambil tempatnya.

Semua orangpun tahu beliau hanya Perdana Menteri boneka sebelum ini bagi Mahiaddin dan Perikatan Nasional, namun kini entah kenapa namanya muncul lagi.

Mungkin kerana Mahiaddin sendiri tidak mahukan Hamzah, yang kini dilihat lebih cermat rundingannya berbanding kumpulan Mahiaddin yang gopoh. 

Namun jauh di sudut hati rakyat, sudah-sudahlah, tunggulah PRU-16 kelak jika mahu menukar kerajaan. Cukup-cukuplah berebut mahu jadi Perdana Menteri tidak kira siapapun apatah lagi bekas Perdana Menteri itu yang sudahpun diberi peluang memerintah sebelum ini tetapi gagal.

Cukup-cukuplah juga kepada mana-mana pihak yang gila kuasa atau takut menjadi kluster mahkamah, yang berusaha menumbangkan kerajaan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Bukankah sebelum ini Perikatan Nasional sendiri yang menolak menjadi kerajaan?

Jika dengan YDP Agong sendiri berani berlagak angkuh dan sombong, apatah lagi dengan rakyat jelata. Cukup-cukuplah rakyat tertekan ketika Perikatan Nasional memerintah sehingga jumlah membunuh diri naik mendadak. 

Jika mahu menderhaka sekalipun tolonglah hormati mandat rakyat dan susah-payah baginda yang mencemar duli berusaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan setelah semua pihak gagal berunding membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Nasihat kepada bekas Perdana Menteri tersebut, silalah berehat dan bermain dengan anak cucu jauh lebih baik daripada mengganggu kerajaan sedia ada. Lagipun semasa jadi Perdana Menteri, anda hanya mengikut Mahiaddin dan Perikatan Nasional. Ibarat lembu dicucuk hidung, hanya menurut kata sehingga parti sendiri berantakan dan kalah teruk di PRU-15.

Justeru itu, semoga semua berhenti berangan dan bekerjalah demi menguatkan parti sendiri demi maslahat rakyat, bukannya hanya fokus merancang mahu menebuk atap. 

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts