DATUK SERI DIKAITKAN DENGAN HAMZAH MENGAKU TIDAK BERSALAH, MINTA DIBICARAKAN

344
SHARES
2k
VIEWS

Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri pada 2021.

Beliau yang merupakan pengarah sebuah syarikat membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozina Ayob. Sim menghadapi pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM15 juta daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad, seperti yang dilaporkan Bernama. 

Wang tersebut dikatakan sebagai dorongan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu Asia Coding mendapatkan projek di bawah kementeriannya. 

Selain itu, Sim juga didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM15 juta daripada individu yang sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu di pejabat Shaas Holdings dan tempat letak kereta Solaris Dutamas, pada Jun dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin, serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah selaku syarat tambahan. Sim juga diarahkan melapor diri di pejabat SPRM di Kuala Lumpur setiap bulan.

Peguam Low Wei Loke, yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan dan terma tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan serta memberitahu anak guamnya akan membayar ikat jamin itu hari ini.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts