POLEMIK TUNTUTAN WARIS KESULTANAN SULU, WAJARKAH DIBUKA “BACKCHANNEL NEGOTIATION”?

86
SHARES
279
VIEWS

SURAT PEMBACA | Menurut laman Facebook J-Kom yang memetik berita Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpendapat seharusnya Malaysia perlu mewujudkan akta baharu yang dipanggil Akta Imuniti Negara. Ini berikutan berlakunya insiden tuntutan waris Kesultanan Sulu dan persediaan sekiranya berlaku lebih banyak tuntutan di masa akan datang.

Azalina juga menjelaskan, kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan Malaysia untuk memastikan segala usaha telah dilaksanakan dalam menangani perkara ini demi mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, saya melihat bagi memastikan kedaulatan negara terjamin, tiada salahnya jika kerajaan mahu memulakan “backchannel negotiation” atau rundingan belakang yang melibatkan kedua-dua belah pihak bagi terus meletakkan noktah dalam isu tuntutan ini.

Ini kerana pihak penuntut, lapan daripada sembilan keluarga juga difahamkan mahukan perdamaian dan penyelesaian tuntas serta menunggu hampir sepuluh tahun sebelum menuntutnya di luar negara.

Sebagai rekod, satu keluarga paling kanan dalam hierarki waris Kesultanan Sulu masih kekal neutral dan tidak terlibat dengan sebarang tuntutan di mahkamah antarabangsa, yang kini sedang mengetuai ‘Rumah Bicara’ di Jolo, Filipina.

Jika dilihat di laman web Malaysia-Sulucase.gov.my sendiri, ada kronologi yang dinyatakan di mana pada tahun 1939, melalui Macaskie Judgment, ada menyebut mengenai jumlah sembilan waris selepas kemangkatan Sultan Sulu, Sultan Kiram II.

Rujuk, “A case is heard in the High Court of the State of North Borneo to determine the rightful heirs of Sultan Kiram II. The subsequent Macaskie Judgment names nine heirs and payments under the 1878 agreement resume.”

Semak di pautan; https://www.malaysia-sulucase.gov.my/timeline

Walaupun satu daripada lapan keluarga yang menuntut ini telah dikategorikan sebagai pengganas oleh kerajaan Malaysia dan ini mungkin mencacatkan rundingan, di pihak Sulu pula berkata nama yang dinyatakan itu bukanlah pihak yang menyerang negara pada tahun 2013.

Ini kerana difahamkan beliau sendiri sudah lama mengalami strok, sekaligus timbul persoalan mengenai identiti yang dinyatakan. Perbezaan maklumat ini juga perlu diperincikan dan disiasat oleh negara. 

Apapun, saya melihat adalah lebih baik pintu rundingan secara musyawarah sesama Islam dibuka, berbanding tuntutan di mahkamah yang belum tahu akan dimenangi oleh siapa. Dirisaukan yang menang kelak menjadi arang dan yang kalah pula menjadi abu. 

Tentu Malaysia sendiri tidak mahu kehilangan satupun aset bernilai termasuk yang dimiliki Petronas di luar negara, yang tentunya memberi implikasi yang lebih besar kepada Malaysia berbanding memenuhi syarat rundingan yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Bukan hanya Malaysia perlu bersetuju tetapi waris Sulu juga perlu setuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan Malaysia. Situasi ‘menang-menang’ perlu diwujudkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat. Itupun jika Malaysia melihatnya sebagai satu ‘necessity‘ bukannya ‘demand‘. 

Apa yang penting, syarat-syarat yang bakal dikemukakan kelak tidak boleh ‘menekan’ sesiapa serta mampu melunaskan hak masing-masing yang dijamin dalam Islam. Jika ada mana-mana syarat yang tidak dipersetujui, wujud kompleksiti, isu perundangan atau ada pihak lain mahu mengambil kesempatan, maka kerajaan Malaysia berhak tidak meneruskan rundingan.

Lebih baik buka ruang kepada usaha rundingan kemudiannya barulah kerajaan kita fikirkan semasak-masaknya sama ada sesuai diteruskan ataupun tidak. Tiada salah meneroka kemungkinan baharu yang jika tidak menguntungkan, ia juga tidak merugikan. 

Dalam hal ini kerajaan Malaysia dan waris Kesultanan Sulu perlu merintis penyelesaian jangka panjang yang saksama, tidak menganiaya mana-mana pihak, termasuk usaha bagi mengelakkan tragedi Lahad Datu daripada berulang kembali. Ini wajib dimasukkan ke dalam syarat-syaratnya agar semua pihak jelas sekiranya berlaku sekali lagi serangan ke atas negeri Sabah. 

Utamakanlah rundingan dan anggaplah penyelesaian di mahkamah ini hanya sebagai jalan terakhir sekiranya semua usaha menemui jalan buntu. Seperti kata Azalina sendiri iaitu, “Kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan Malaysia untuk memastikan segala usaha telah dilaksanakan.

Justeru, pastikanlah segala usaha dilaksanakan, kemudiannya bertawakallah kepada Allah SWT atas apa jua ketetapan-NYA. Apatah lagi rundingan ini melibatkan saudara sesama Islam di sana, In sha Allah tentu ia lebih mudah dirundingkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. 

Kesimpulannya, semua pihak serulah kepada rundingan atau musyawarah, bukannya memilih jalan konfrontasi di mahkamah yang tentu jauh lebih besar mudaratnya. Ampun maaf juga dipinta andai kata cadangan backchannel negotiation ini ada menyinggung sesiapa. 

Apapun, hanya kepada Allah kita berserah dan semoga ada sinar buat negara.

Oleh Veteran Borneo 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts