PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN ISLAM – DR. RAMALAN YUNUS

115
SHARES
370
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Dari segi sejarah, penduduk Tanah Melayu telah beragama Islam lebih dari 1000 tahun. Rujuk Qanun Kedah atau Undang-Undang Kedah yang ditulis pada tahun 222 Hijrah. Bersamaan dengan tahun 837 Masihi.

Setelah Proklamasi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Islam termaktub sebagai agama bagi negara ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia tertulis secara jelas dalam perkara 3(1).

Ini membuktikan bahawa negara ini bukan sahaja berkewajipan untuk mempertahankan Islam sebagai agama negara bahkan ia juga berkewajipan untuk melaksanakan syariat Islam dalam setiap aspek kenegaraannya.

Ini kerana Islam bukan sekadar ritual dan dogma bahkan ia adalah merupakan satu cara hidup. Cara hidup yang holistik dan komprehensif. Baik secara individu, berkeluarga, bermasyarakat mahupun dalam bernegara. Ini yang membezakan Islam dengan agama-agama yang lain.

Walau bagaimanapun dalam peruntukan tersebut, ia juga tidak melarang agama lain untuk diamalkan di mana-mana bahagian di negara ini.

Rukun Negara yang pertama iaitu “kepercayaan kepada Tuhan” kalau merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan perkara 3(1) iaitu Islam sebagai agama negara maka sudah pastilah Tuhan tersebut ialah Allah SWT.

Maka secara muktamad kalimah Allah adalah milik eksklusif umat Islam dan milik negara kerana negara ini beragama Islam. Sumber kalimah Allah adalah daripada Al-Quran yang ditulis dengan menggunakan bahasa Arab.

Kebebasan beragama di negara ini tidak bermakna agama-agama lain boleh menggunakan kalimah Allah. Ini kerana kalimah Allah mempunyai definasi yang tersendiri bagi umat Islam sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al Ikhlas.

Membenarkan kalimah Allah digunakan oleh umat agama-agama lain di Malaysia adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Atas dasar ini maka saya kira pihak kerajaan harus berbuat sesuatu bagi memastikan agar isu ini dapat dimuktamadkan dan tidak berlarutan.

Sampai bila perkara paling asas seperti ini harus menjadi perdebatan umum lagi?

Oleh kerana ia berkaitan dengan perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan maka ia wajar diselesaikan di peringkat mahkamah yang paling tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.

Dalam era islah dan tajdid atau restorasi dan transformasi, sekarang adalah merupakan masa yang paling sesuai untuk negara ini kembali kepada asas dan landasannya yang sebenar iaitu Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah merupakan cabaran yang penting dan utama bagi wawasan Bina Malaysia Madani. Ia akan membuka laluan untuk langkah-langkah seterusnya dalam membina kembali Malaysia secara madani berdasarkan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan menurut kaca mata wataniah seperti sahabat saya, Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, Prof Dato’ Dr Shamrahayu dan Prof Dato’ Nasir Disa wajar dilibatkan dalam isu seperti ini.

Suara UMNO dalam isu seperti ini harus diberikan perhatian yang khusus. Begitu juga dengan suara-suara dari NGO Melayu/Islam seperti PEMBELA perlu diambil kira. Muktamadkan segera isu seperti ini.

Ini kerana soalan pokok yang masih sering menjadi perbalahan di kalangan rakyat adalah adakah Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular dan liberal? Memang agak melucukan apabila negara sudah merdeka lebih 60 tahun tetapi soal pokok dalam bernegara masih tidak juga selesai.

Cukuplah Dewan Rakyat sahaja yang menjadi gelanggang untuk para badut beraksi. Jangan sampai negara ini pula turut menjadi seperti itu. Buktikan bahawa negara ini bukan ditadbir oleh para badut.

Bagi saya, berdasarkan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia adalah sebuah negara Islam beRaja atau Islamic Kingdom.

Itu harga mati. Tidak boleh ditawar lagi!

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts