NARATIF KERAJAAN BAKAL BERTUKAR SEMAKIN MENYUKARKAN RAKYAT

349
SHARES
2.1k
VIEWS

Naratif bahawa kerajaan akan bertukar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan Ogos terus didendangkan. Angka-angka SD sudah mempunyai majoriti dimainkan seolah-olah negara tidak mempunyai undang-undang lompat parti dan perjanjian 148 Ahli Parlimen juga diabaikan sama sekali. 

Desakan tolak Presiden UMNO Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kononnya Dato’ Seri Utama Mohamad Bin Hasan atau Tok Mat akan membawa keluar UMNO dari Kerajaan Perpaduan juga giat dihebohkan. Naratif ahli-ahli UMNO kecewa dengan keputusan bekerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan diulang-ulang sehingga ada yang mula percaya. 

Ini termasuk ‘spin‘ kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Lokman Noor Adam yang menerangkan mengenai senario yang akan berlaku di mana Zahid akan disalahkan jika Kerajaan Perpaduan kalah di PRN 6 negeri kelak. Tujuan pembangkang hanya untuk ‘mencucuk’ setiap kumpulan dalam parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan agar berbalah sama sendiri. 

Dalam masa yang sama rundingan belakang diteruskan, tawaran jawatan Perdana Menteri menjadi bahan jajaan ampuh Perikatan Nasional, asalkan mereka kembali memerintah. Formula Perdana Menteri boneka serta akujanji bersyarat seperti yang berlaku kepada Datuk Sri Ismail Sabri akan digunakan kembali, tanpa mengira siapapun Perdana Menterinya.

Selain itu pelbagai siri rundingan belakang dengan pelbagai pemimpin termasuk yang tidak mempunyai kerusi semakin hari semakin terbuka dilakukan, sedangkan dalam masa yang sama, keadaan kacau-bilau politik ini hanya merugikan negara.

Para pelabur yang turut menyaksikan perebutan kuasa ini menjadi takut dan mula berhati-hati untuk menambah pelaburan sedia ada. Yang belum masuk ternanti-nanti apa kesudahannya dengan politik negara yang semakin kronik dipenuhi ahli politik yang tidak tahu menghormati pilihan raya serta tidak mahu taat dengan titah Seri Paduka Yang DiPertuan Agong.

Jika baginda yang telah berusaha membantu penubuhan Kerajaan Perpaduan ini tidak mahu dihormati, apatah lagi jika mereka ini menjadi kerajaan kelak, rakyat di bawah tentu terus tidak dipedulikan. 

Hakikatnya pemimpin-pemimpin asyik sibuk dengan politiking berterusan, rakyat pula semakin tertekan, OPR naik berterusan atas alasan ekonomi memulih walaupun realitinya ringgit terus menjunam.

Harga barangan harian semakin naik tanpa ada tanda-tanda pemulihan atau bakal diturunkan kerana semua pihak tidakpun peduli hanya sibuk berpolitik menjaga kuasa dan kedudukan, kebajikan rakyat pula terus diabaikan.

Tiada gunanya jika muncul kerajaan baharu ganti Kerajaan Perpaduan, retorik dan slogan juga baharu, agama, bangsa semua menjadi dagangan. Namun malangnya ia tetap dipercayai oleh segelintir rakyat bahawa kerajaan baru ini bakal membawa pembaharuan.

Hakikatnya sama sahaja, yang naik terus naik, tetapi harga barangan harian, ringgit dan OPR yang diharapkan rakyat agar turun tetap kekal tinggi dan tidak berubah. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts