Isu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi didakwa sebagai menyerang sesama sendiri atau “menembak kaki sendiri” oleh bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang kini Pengerusi MARA, dilihat banyak pihak sebagai tidak wajar dilakukan kerana Puad hanya menegur Menteri Ekonomi Rafizi Ramli agar ‘perform‘.
Asyraf sepatutnya bersemuka atau menelefon Puad terkait isu beliau menegur Rafizi, bukannya menggunakan media sosial untuk menegur kembali Puad, yang mungkin beliau rasa tidak wajar mengkritik Rafizi. Lagipun, bukankah Asyraf juga dari parti UMNO dan bukannya PKR?
Jika yang menegur dan kata Puad tembak kaki sendiri itu datang dari mana-mana pemimpin PKR barulah mudah diterima oleh ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan tindakan Asyraf, yang dilihat melebihkan Rafizi berbanding rakan sesama parti.
Semua pihak tahu niat Asyraf itu baik dan wajar dilakukan, tetapi caranya tidak kena apabila dilakukan secara terbuka, malah satu dunia kini tahu Asyraf pula menembak atau menyerang sesama sendiri.
Jika Puad memang salah menegur Rafizi secara terbuka yang boleh menyebabkan hubungan antara pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan berantakan, itu tidak bermakna Asyraf boleh juga menegur beliau dengan cara yang sama.
Justeru, jika Asyraf rasa tidak wajar Puad menembak atau menyerang Rafizi, adakah beliau rasa wajar untuk menembak atau menyerang rakan sendiri?