Menurut netizen yang pro bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak iaitu Lim Sian See, membebaskan Najib sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan menguntungkan PH-BN tanpa memberi sebarang mudarat.
Menurutnya, ada tiga kategori pengundi yang akan tetap memberi sokongan dan undi mereka kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada PRN di enam negeri kelak.
Kategori 1. Penyokong Pakatan Harapan – yang kebanyakannya orang bukan Melayu dan Melayu bandar serta pengundi atas pagar bukan Melayu
Menurutnya, “Mungkin mereka akan ‘mengadu’ sedikit tetapi akan tetap undi PH dan BN jika terpaksa membuat pilihan kerana golongan ini sangat takut kepada PN-PAS.”
Kategori 2: Pengundi atas pagar Melayu
Menurut beliau lagi, Najib masih menerima sokongan yang kuat dari golongan ini. “Golongan ini dijangka akan lebih cenderung untuk mengundi PH-BN jika mereka percaya Najib akan diberi peranan untuk membantu kerajaan dalam hal-ehwal ekonomi kerana ramai yang bimbang dengan ekonomi negara ketika ini.”
Kategori 3: Penyokong UMNO-BN
Beliau berkata bahawa, “Sudah tentu Najib akan naikkan semangat jentera UMNO-BN dengan sangat ketara jika dibebaskan dan berkempen untuk BN.“
“Ini kerana sebahagian besar penyokong UMNO-BN yang kecewa sebelum ini kerana parti masih belum beri keadilan kepada Najib selepas tujuh bulan membentuk kerajaan juga akan menyokong dan mengundi semula UMNO-Barisan Nasional.“
Justeru, seperti yang telah diberitahu dari awal iaitu jika kerajaan membebaskan Najib sebelum PRN di enam negeri kelak, ia bakal menguntungkan gabungan kerjasama PH-BN tanpa memberi sebarang mudarat.
Kerajaan tetap tidak boleh mengelak dari dikritik tetapi jika ia boleh mengubah keputusan di enam negeri kelak dan menguntungkan kerajaan (setidak-tidaknya tidak dimalukan), untuk jangka masa yang panjang sehingga PRU-16, maka ini tentu peluang baik dan berbaloi untuk dilaksanakan.
Kerajaan perlu cerdik kerana melalui perbicaraan semula sudah tentu banyak perkara dapat dirungkaikan. Antaranya isu pelantikan hakim junior yang tidak mengikut prosedur dan isu hakim terlibat konflik kepentingan tentu dapat dibetulkan.
Isu keberadaan Jho Low dan Nik Faisal yang sekejap di Macau dan sekejap di Shanghai dapat ditentukan serta pelbagai lagi isu perundangan dan kehakiman juga dapat dibetulkan.
Barulah ‘madani’ ini bererti untuk seluruh rakyatnya dan bukan hanya terpakai untuk sebahagiannya sahaja. Namun persoalannya, adakah kerajaan mahu lakukan atau masih ada individu atau pihak tertentu yang ‘mencucuk’ kononnya pengaruh Najib kelak bakal meminggirkan pemimpin tertentu?
Realitinya, jika mengikut teori peperangan, jika sudah sampai waktu mahu berperang, segerakan berpakat dengan ‘panglima’ yang pengaruhnya mampu mengubah keputusan perang itu kelak. Tetapi jika belum apa-apa sudah bersangka buruk dan takutkan panglima yang dipenjarakan, jelas dari awal keputusan kalah sudah dalam tangan.