Hari ini terdedah satu lagi kepincangan dalam kes 1MDB melibatkan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak. Kes ini sudah berjalan selama 5 tahun dan dihakimi oleh YA Dato Collin Sequerah.
Salah satu saksi penting yang didakwa terlibat dalam penyelewengan 1MDB ialah peguam syarikat itu bernama Jasmine Loo. Jasmine didakwa telah memindahkan USD16 juta secara haram daripada akaun 1MDB ke akaun peribadinya sekitar 10 tahun lalu.
Jasmine merupakan sekutu rapat kepada Jho Low. Keterangan Jasmine sangat penting kerana ia boleh mendedahkan komplot sebenar kes berkenaan dan membuktikan DS Najib sebenarnya dianiaya.
Jasmine telah melarikan diri ke luar negara sejak 2015 dan hanya berjaya ditangkap pada awal bulan ini oleh pihak berkuasa.
Hari ini terdedah bahawa Hakim Dato Collin dan Jasmine Loo sebenarnya pernah menjadi rakan kongsi dalam sebuah firma guaman. Perkara ini berlaku sekitar 15 tahun lalu ketika kedua-duanya masih peguam biasa. Nama firma itu adalah Zain & Co.
5 tahun, 5 tahun perbicaraan berjalan. 5 tahun kita bercakap tentang Jho Low dan rakan subahatnya Jasmine Loo. 5 tahun segala macam hinaan dibuat bagi membunuh maruah seorang pemimpin negara. Hari ini baru terbuka satu hijab dari berpuluh hijab yang ada.
Dahulu terdedah kaitan konflik kepentingan YA Nazlan dalam kes SRC DS Najib yang dihakiminya. Hari terdedah pula hubungan antara hakim kes 1MDB dengan bakal saksinya. Sampai ke tahap mana kita mahu biarkan kepincangan ini berlaku sebelum kita semua boleh membuka mata?
Adakah sehingga hilang segala keberkatan dan dicabut segala nikmat dari tanah air kita?
Ingatlah, “Ar ridha biz zholim, zholim“. Reda kepada kezaliman ialah satu bentuk kezaliman.
Abdul Rahim Hilmi Zakariya