Pesanan politik orang Melayu jelas pada PRN kali ini. Orang Melayu menolak UMNO bukan kerana UMNO itu UMNO tetapi orang Melayu menolak UMNO kerana menolak kerjasama antara Anwar dan Zahid.
“No Anwar No DAP” kini bertukar menjadi “No Anwar No Zahid“. Orang Melayu menolak kenyataan bahawa Kerajaan Perpaduan ini adalah daripada titah Tuanku. Bagi mereka Kerajaan Perpaduan adalah kerjasama antara Anwar dan Zahid.
Atas dasar itu orang Melayu menolak titah baginda untuk menyampaikan pesanan politik dan pesanan psikologi mereka kepada Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu. Naratif bahawa nasib Melayu terancam di tanahair sendiri kerana DAP hanya sekadar retorik politik murahan sahaja.
Realitinya prestasi UMNO begitu buruk manakala prestasi DAP pula begitu cemerlang. Bukankah sepatutnya prestasi DAP yang buruk, bukannya UMNO sekiranya benar DAP itu ancaman kepada orang Melayu?
Jadi itu jelas menunjukkan bahawa psikologi di belakang minda Melayu hari ini mereka sebenarnya menolak kerjasama Anwar dan Zahid. Mereka tidak percaya bahawa kerjasama antara Anwar dan Zahid mampu membela nasib dan masa depan mereka.
Mereka melihat Anwar hanya sekadar mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Zahid ingin melepaskan diri dari segala pertuduhan di mahkamah dengan berselindung di sebalik titah Tuanku. Mereka menolak rasional atau hikmah di sebalik pembentukan Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku.
Mereka merasa mereka sedang ditipu dan dizalimi oleh Anwar dan Zahid. Namun persoalannya ketika ini ialah bolehkah kita menyalahkan orang Melayu jika memang begitulah sifat dan sikap orang Melayu? Ada sifat Hang Tuah dan Hang Jebat di dalam diri orang Melayu.
Orang Melayu sanggup menderhaka kepada Raja untuk menegakkan keadilan yang mereka yakini. Mereka tidak peduli dengan krisis ekonomi dan apa sahaja krisis apabila emosi mereka sudah tersentuh. Mereka sanggup kehilangan apa sahaja atas nama agama dan bangsa.
Jika tidak begitu mana mungkin timbul ungkapan “Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah”. Psikologi orang Melayu memang mudah dimanipulasi dan dieksploitasi dengan sentimen agama dan bangsa.
Bangsa Melayu adalah bangsa yang berjiwa halus. Mereka sensitif dan sentimental. Mana ada bangsa lain yang mahu bergaduh atau berperang sempat berpantun dahulu selain Melayu?
Atas dasar itu orang Melayu sentiasa dilihat membuat keputusan berdasarkan sentimen bukan dengan logik yang rasional. Sejak dari dahulu inilah DILEMA MELAYU. Untuk memilih bersikap rasional ataupun beremosi.
Kesimpulannya pasti akan hilang kewarasan Melayu apabila sentimen agama dan bangsa terus dieksploitasi dan dimanipulasi oleh segelintir pihak yang berkepentingan.
Realitinya inilah yang berlaku pada PRN kali ini. Ramai orang Melayu yang berpuas hati melihat prestasi UMNO begitu buruk sekali. Mereka meraikannya seolah-olah mereka sudah menang 6-0 pada PRN kali ini.
Kini terserah kepada semua pihak bagaimana untuk melayani dan meraikan pesanan politik dari orang Melayu. Saranan saya, serahkan kembali budi bicara kepada Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu.
Mana mungkin kita biarkan sahaja apabila sudah jelas di depan mata ada pertembungan antara titah Tuanku dan titah Melayu.
Sebuah “caretaker government” perlu dibentuk demi menyelamatkan negara dari krisis politik dan ekonomi yang berpanjangan. Ini kerana saya tidak melihat Anwar sanggup meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri untuk meraikan pesanan politik orang Melayu.
Begitu juga dengan Zahid. Saya tidak melihat Zahid sanggup melepaskan jawatan Presiden UMNO untuk meraikan pesanan politik orang Melayu.
Kita boleh berhujah panjang lebar mengenai keputusan PRN pada kali ini. Namun secara jujurnya inilah pesanan politik sebenar orang Melayu buat Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu. Orang Melayu tidak menolak Kerajaan Perpaduan. Mereka hanya ingin menolak kerjasama antara Anwar dan Zahid.
Atas dasar itu semua para elit politik perlu diberhentikan dari terus berpolitik demi kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negara. Dari sisi Anwar dan Zahid pula, sekiranya mereka mahu meneruskan hayat politik mereka, mereka tidak ada pilihan lain selain dari menyumbat musuh-musuh politik mereka ke dalam penjara.
Adakah Anwar dan Zahid mampu bertindak senekad Tun Dr Mahathir dalam melayani musuh-musuh politik mereka?
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas