REVOLUSI AKHLAK DALAM UMNO – DR. RAMALAN YUNUS

94
SHARES
302
VIEWS

Pasca PRU-15 kita dapat menyaksikan satu perubahan besar dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sudah kehilangan adab dan akhlak sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang Melayu.

Caci maki, kecaman dan hinaan memenuhi setiap ruang di media-media sosial pada setiap hari. Semasa kempen PRN lebih parah lagi apabila para pemimpin pembangkang juga turut bersikap begitu.

Kita tidak boleh membiarkan akhlak masyarakat Melayu terus dirosakkan oleh parti pembangkang. Kalau kita tidak mampu mendidik keseluruhan masyarakat Melayu maka memadailah dengan mendidik ahli-ahli UMNO terlebih dahulu.

Ini menjadikan tugas dan peranan Majlis Ulama UMNO yang mewakili parti politik orang Melayu yang paling lama dan paling ramai ahlinya begitu besar dan berat sekali. Majlis Ulama UMNO harus berupaya mendidik khususnya ahli-ahli UMNO tentang adab dan akhlak sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang Melayu.

Mana mungkin ahli-ahli UMNO berjuang untuk membela dan mempertahankan agama, bangsa dan Raja-raja Melayu tanpa adab dan akhlak yang sempurna. Kalau parti-parti politik yang lain mahu membiarkan ahli-ahli mereka bersikap biadab dan kurang ajar, biarkan. Tetapi bukan ahli-ahli UMNO.

Ini kerana UMNO parti yang keramat. Parti yang melakar sejarah moden Bangsa Melayu. Parti yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Parti yang kekal relevan sehingga ke hari ini.

UMNO perlu direset semula agar terus kekal relevan dan menjadi benteng Islam dan Ketuanan Melayu di tanah air ini. Atas dasar itu proses islah dan tajdid atau restorasi dan transformasi perlu dilakukan.

Proses “Revolusi Akhlak” harus dilaksanakan di dalam UMNO dengan kadar segera. Ahli-ahli UMNO harus dididik kembali dengan akhlak dan pekerti yang mulia sebagai seorang pejuang agama, bangsa dan negara.

Bukankah junjungan besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW diturunkan untuk menyempurnakan akhlak manusia? Kalau kita tidak mahu mengikuti jejak Rasul lalu kita mahu mengikuti jejak siapa lagi?

Bukankah cukup mengecewakan dan menyedihkan apabila melihat orang Melayu sudah tidak lagi menghormati Institusi Raja-raja Melayu? Bukankah cukup mengecewakan dan menyedihkan apabila melihat orang Melayu sudah tidak lagi menghormati titah Tuanku?

Kita juga patut berasa sedih dan kecewa apabila ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang tidak menghormati Presiden UMNO. Untuk apa berorganisasi atau berparti politik sekiranya tidak menghormati ketua sendiri?

Kalau parti lawan mahukan Presiden UMNO meletak jawatan bukankah ahli-ahli UMNO yang seharusnya mempertahankan Presidennya? Ada yang salah dalam soal adab dan akhlak sebagai ahli UMNO?

UMNO ini bukan parti biasa-biasa. UMNO ini sebuah parti yang mempunyai sejarah yang panjang. UMNO juga adalah sebuah parti politik orang Melayu yang terbesar. Sudah terlalu banyak jasa UMNO kepada Islam dan Melayu di negara ini.

PAS dan Bersatu itu adalah parti serpihan UMNO. Kalau betul mahukan penyatuan Melayu sepatutnya PAS dan Bersatu ikut UMNO. Bukan UMNO yang harus ikut PAS dan Bersatu.

Jadi kalau perkara-perkara asas seperti inipun gagal difahami oleh para elit politik Melayu maka sesungguhnya kerosakan akhlak di dalam masyarakat Melayu sudah begitu parah sekali.

Jadi sebagai sebuah parti politik orang Melayu, UMNO harus tampil kehadapan untuk memperbaiki kerosakan akhlak bangsa Melayu.

Dan tugas itu harus dipikul oleh Majlis Ulama UMNO. Ahli-ahli UMNO harus memberikan sokongan kepada apa sahaja usaha Majlis Ulama UMNO dalam usaha untuk memperbaiki akhlak ahli-ahlinya.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts