Pelbagai siri kesilapan dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan kali ini tersilap dalam pengiraan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ingin dibandingkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) malah disediakan bersama Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
‘Kesilapan bodoh’ tersebut bukan sahaja mengundang kritikan netizen dan rakyat terhadap kemampuan Lim Guan Eng yang menerajui Kementerian Kewangan malah dipersoalkan pula rasional kesilapan yang semakin ketara akhir-akhir ini sedangkan kesilapan yang sama pernah dibuat oleh Astro Awani sebelum ini.
Kenapakah Kementerian Kewangan semakin cuai apatah lagi dalam menyediakan fakta tepat untuk rakyat menyemak kesahihan sesuatu perkara berkaitan kewangan negara?
Sebelum ini juga Lim membuat tuduhan tidak berasas tanpa bukti dan laporan polis yang hanya dibuat dalam Dewan Rakyat berkenaan kehilangan RM18 bilion wang pembayaran kembali GST kepada peniaga-peniaga namun juga tersalah jumlah dan masih tidak memberikan sebarang bukti sehingga kini.
Semalam juga beliau baru sahaja membuat kesilapan kerana tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan standard perakaunan tunai terubah (modified cash accounting) dan bukannya standard perakaunan Akruan (accruals accounting standard) sebagaimana digunakan di sektor swasta.
Jawatan Menteri Kewangan adalah satu portfolio yang sangat penting dan wajar diterajui oleh individu yang “hampir tidak akan membuat kesilapan” agar peluang berlakunya kesilapan dan bencana dalam sistem kewangan negara dapat dihindari.
Tun Mahathir perlu meneliti pilihan sama ada merehatkan Lim sebagai Menteri Kewangan dan melantik individu lain jika tidak dirinya sendiri ataupun bertahan dengan Lim yang sering menyusahkan beliau dan rakyat.
Kini jelas kepada umum bahawa Lim sebenarnya hanya pandai berkata-kata dan memanipulasi fakta yang kini terbongkar setelah menjadi kerajaan, yang mampu disoroknya semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Persoalannya sampai bilakah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mampu bersabar dan mengabaikan kesilapan demi kesilapan yang dibuat oleh Menteri Kewangan?