PERBETULKAN SEGERA PERNAS

463
SHARES
1.5k
VIEWS

SURAT PEMBACA | Sebagai konsultan yang terlibat dalam bidang francais, saya begitu terganggu dengan apa yang berlaku di Perbadanan Nasional Berhad atau dikenali sebagai Pernas kebelakangan ini.

Banyak isu kini melanda Pernas yang suatu ketika dahulu dilihat gah. Antaranya hala tuju Pernas yang tidak jelas, tiada program berimpak tinggi dan isu moral warga kerja yang kian rendah.

Khabarnya makin ramai warga kerja termasuk yang pakar dan berpengalaman telah berhenti kerana kecewa atas pelbagai masalah dalaman. Salah satu daripadanya adalah kegagalan dan kelemahan pengurusan atasan Pernas terutama berkait tatakelola dan tadbir urus.

Inilah rumusan saya berdasarkan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan iaitu pihak industri, persatuan, usahawan malah warga kerja Pernas itu sendiri.

Sekiranya tidak benar apa yang dibangkitkan ini, saya mengalu-alukan pengurusan Pernas untuk menjawab dan memberi penjelasan demi keadilan kepada semua pihak.

Kini Pernas tidak mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif dan jawatan itu sudah agak lama dipangku dan dimainkan oleh seorang daripada ahli lembaga pengarah.

Sudah sampai masanya kerajaan khususnya Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan melihat isu ini dengan segera Dan memperbetulkan perjalanan Pernas.

Kembalikan semula Pernas ke landasan sebenar agar menjadi organisasi yang mampu memacu ekonomi melalui keusahawanan francais.

Sebenarnya potensi keusahawanan francais di negara ini begitu besar dan mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.

Janganlah terlepas kesempatan ini dengan membiarkan Pernas sekadar “indah bangunannya tetapi rapuh dan lesu di dalamnya”.

Ini hanya akan merugikan industri francais malah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Kerajaan Perpaduan.

Saya mencadangkan kerajaan segera melantik CEO dan merombak ahli lembaga pengarah (kecuali Pengerusi yang baru sahaja dilantik).

Adalah perlu memisahkan kuasa lembaga pengarah dan pengurusan agar tidak mencetuskan konflik kepentingan selain memastikan tadbir urus yang baik.

Ramai calon muda berwibawa dan berkelayakan (di luar lembaga pengarah) wajar diberi peluang menjadi CEO agar menyuntik pembaharuan dan kesegaran serta mewujudkan ‘feel good’ di Pernas demi untuk negara dan rakyat.

Bertindaklah segera sebelum penyakit di Pernas menjadi lebih parah dan sukar dipulihkan.

Konsultan bebas francais

Kuala Lumpur

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts