APAKAH PILIHAN PENGUNDI-PENGUNDI SUNGAI BAKAP?

121
SHARES
391
VIEWS

Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap pada hari ini akan menentukan sokongan terhadap kerajaan sama ada masih utuh atau semakin terhakis. Apatah lagi ditambah dengan pelbagai keputusan mereka yang dilihat rakyat semakin menyusahkan mereka kebelakangan ini.

Antaranya isu MAHB-BlackRock, kenaikan mendadak diesel, misteri kehilangan beras tempatan yang masih tidak terselesai, harga barang melonjak naik serta antisipasi rakyat terhadap kenaikan lain seterusnya tentu menjadi pertimbangan pengundi-pengundi Sungai Bakap kelak.

Namun apapun pilihan rakyat pada hari ini, ia langsung tidak akan menggugat kerajaan semasa pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana kalah atau menang pada hari ini, Kerajaan Madani ini akan kekal sehingga Parlimen dibubarkan kelak.

Walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-10 ini dilihat masih terkial-kial mencari arah termasuk dalam menentukan hala tuju kerajaan, ditambah sukar dengan kehadiran ‘kartel-kartel’ tertentu di segenap arah, stabiliti Kerajaan Madani yang disokong oleh majoriti Ahli-ahli Parlimen ketika ini tetap tidak berubah.

Kestabiliti politik yang ingin dicapai Madani ini amat penting untuk hala tuju sesebuah kerajaan. Sebagai contoh kerajaan Barisan Nasional mempunyai hala tuju yang jelas dan tetap namun dirobohkan oleh ketidakstabilan politik yang akhirnya dunia melihat mereka tersungkur pada 2018.

Apa jua hala tuju mereka sudah menjadi tidak berguna lagi kerana kerajaan yang menggantinya pasti menetapkan hala tuju dan landasan yang baharu.

Begitulah Anwar dan Pakatan Harapan 2.0 atau Kerajaan Madani, kestabilan yang ada ketika ini walaupun dilihat beberapa pihak sebagai rapuh, suka atau tidak mereka akan kekal memerintah sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak. Suka atau tidak, itulah realitinya hari ini melainkan sesuatu besar berlaku yang mengakibatkan ‘manoeuvre‘ politik dalam setiap parti politik.

Namun, tentu pasukan Anwar dan cerdik pandainya sudah memikirkan segala jalan keluar dan dari awal simulasi pelbagai kemungkinan telahpun dijalankan. Jangan pelik apabila akan ada “kisah cinta” lama akan bertaut kembali pasca PRU-16 kelak, yang hakikatnya sudahpun bermula sekarang.

Insya-Allah ia bakal membuka jalan kepada penjajaran baharu melibatkan parti ‘bersekutu’ jika Allah Taala mengizinkan, agar Islam dan Melayu di negara ini terus diperkasakan.

Justeru, kepada pengundi-pengundi di Sungai Bakap, walaupun pilihan anda hari ini tidak memberi impak signifikan kepada kerajaan namun undilah mengikut akal fikiran yang waras, bukan tenggelam dalam sentimen yang ‘dictate‘ undi anda kelak.

Selawat dan bismillah, buatlah keputusan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts