ISU LAWATAN PM DIBIAYA SWASTA, LOKMAN ADAM JAWAB HILMAN

71
SHARES
230
VIEWS

1. Terlebih dahulu, sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hasil Lawatan Kerja Rasmi Delegasi Kerajaan Malaysia ke luar negara baru-baru ini;

2. Delegasi yang diketuai oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selaku Perdana Menteri ke Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro dan Doha ini telah berjaya memperolehi jumlah pelaburan yang besar iaitu RM12.8 bilion.

3. Selain itu, lawatan ini juga adalah bagi memenuhi undangan dan mengadakan pertemuan rasmi dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dari 19 buah negara di samping mengeratkan hubungan antarabangsa serta membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara ketika landskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan;

4. Memandangkan lawatan selama 11 hari ini merupakan satu lawatan yang panjang dan sudah pasti menelan belanja yang tinggi, YAB Perdana Menteri juga telah berkongsi atau memaklumkan di dalam Dewan Rakyat mengenai pengurusan dana kerajaan sepanjang lawatan ini berlangsung;

5. Semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Jumaat, 22 November 2024, YAB Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa 70-80 peratus perbelanjaan untuk lawatan ini telah ditanggung oleh pihak swasta;

6. Dalam penjelasan ini, YAB Perdana Menteri telah memberikan justifikasi bahawa penglibatan pihak swasta adalah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan ia merupakan satu pendekatan baharu di Jabatan Perdana Menteri untuk mengekang pembaziran serta ketidakcekapan pengurusan kewangan semasa lawatan rasmi kerajaan di luar negara;

7. Bagi merealisasikan perkara ini, pihak kerajaan dan dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah membuka pelawaan kepada syarikat-syarikat seperti Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan beberapa syarikat semikonduktor yang berminat untuk kembangkan perniagaan mereka dan menyertai lawatan ini dengan kos perbelanjaan ditanggung oleh pihak mereka sendiri;

8. Ini bermaksud, Kerajaan Malaysia telah menggunakan pendekatan win-win situation di mana membantu mempromosi atau memperkenalkan syarikat-syarikat tempatan dan dalam masa yang sama pihak kerajaan tidak perlu keluarkan kos besar untuk membawa syarikat ini ke pentas dunia;

9. Mengenai isu pihak swasta menaja kos lawatan rasmi YAB Perdana Menteri sepanjang lawatan 11 hari tersebut, ia adalah satu tuduhan yang tidak tepat dan mengelirukan kerana untuk lawatan ini, kerajaan menanggung sepenuhnya kos YAB Perdana Menteri di luar negara;

10. Kerajaan hanya membayar RM1.66 juta atau 27 peratus kos lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke 5 buah negara, berbanding kos sebenar atau keseluruhan berjumlah RM6.162 juta. Selebihnya RM4.5 juta atau 73 peratus, ditanggung oleh syarikat yang terlibat;

11. Selain itu, pendekatan penjimatan oleh Jabatan Perdana Menteri ini telah menjimatkan sejumlah RM900 ribu untuk sewaan pesawat berbanding kos yang terpaksa ditanggung sebanyak RM2.5 juta untuk pesawat sedia ada;

12. Selain itu juga, delegasi YAB Perdana Menteri (Kerajaan Malaysia) juga tidak melibatkan sebarang kos untuk penginapan, makanan dan pengangkutan kerana penganjuran seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan Sidang Kemuncak G20 ditanggung oleh tuan rumah negara yang terlibat;

13. Selain perkara ini, kehadiran anak sulong YAB Perdana Menteri iaitu Nurul Izzah bersama delegasi ini adalah kerana jemputan oleh pihak penganjur. Jemputan ini atas kapasiti Nurul Izzah sebagai Pengarah Social & Economic Research Initiative (Seri) dan kehadiran beliau juga turut mewakili Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang tidak menyertai lawatan ini; dan

14. Kesimpulannya, lawatan rasmi ini dilihat bukan untuk tujuan peribadi, tetapi mengarah kepada satu agenda yang besar iaitu pemulihan ekonomi dan menggamit pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia. Jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion yang diperolehi oleh pihak Petronas di Brazil misalnya adalah salah satu bukti kejayaan besar lawatan YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts