Datuk Mohamad Nizar atau lebih dikenali sebagai Datuk Jaja mengesahkan telah menerima dokumen asal daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum terhadap ayahandanya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.
Menurut Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, dokumen tersebut diterima oleh Nizar pada 2 Disember lepas atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri.
Melalui titah adendum tersebut, baginda memperkenan bekas Perdana Menteri keenam itu dikenakan tahanan rumah bagi menghabiskan baki hukuman penjaranya sebelum ini.
Selanjutnya beliau berkata bukti baharu itu akan memuktamadkan bahawa perintah adendum itu wujud.
“Apabila ia didedahkan, anda akan terkejut melihat siapa yang diarahkan (ketika itu) Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perintah tambahan ini.”
“Saya tidak mahu mendedahkan (kandungan dokumen) kerana terdapat perintah perlindungan yang sedang berkuatkuasa. Kami serahkan kepada kerajaan untuk menentukan sama ada perintah tambahan ini benar atau tidak,” jelas Shafee lagi.