Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah hadir merasmikan Penang Silicon Design @5km+ di Eastin Hotel hari ini di mana negeri ini dilihat terus melangkah ke hadapan sebagai hab strategik dalam industri semikonduktor.
Ia juga memberi penekanan kepada reka bentuk cip dan aspek daya cipta, sekaligus membuktikan bahawa Malaysia sedang melaju memperkukuh kedudukannya di peta semikonduktor global.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting terutamanya dalam mendukung ekosistem ini dengan menekankan keperluan penambahbaikan di pelabuhan, lapangan terbang, dan rangkaian bekalan.
Kejayaan ini memerlukan sinergi antara industri dan institusi pendidikan, khususnya dalam melahirkan jurutera berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan dan tuntutan industri.
Beliau turut menyentuh bahawa peranan universiti bukan sekadar bersifat ‘utilitarian’ tetapi ia mesti dikembangkan serta diolah bagi mempersiap masyarakat ke arah anjakan transformasi.
Beliau yakin Malaysia mampu melonjak ke era baharu dengan industri berteknologi tinggi yang memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Perdana Menteri juga telah mengumumkan dana sebanyak RM50 juta bagi menunjukkan komitmen dalam membangunkan modal insan dan infrastruktur yang diperlukan.