ALUMNI MPPK SOKONG INISIATIF FLYSISWA 2024

73
SHARES
234
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (ALUMNI MPPK) ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kerajaan atas penerusan inisiatif subsidi tiket penerbangan FLYSiswa.

Inisiatif yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Perasmian Karnival FLYSiswa 2024 bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam ini bakal memberi manfaat kepada 60,000 mahasiswa di seluruh negara meliputi Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Dengan peruntukan RM24 juta, inisiatif ini juga menyaksikan peningkatan jumlah subsidi pembelian tiket penerbangan daripada RM300 kepada RM400, yang diharap dapat mengurangkan beban kewangan mahasiswa, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Langkah proaktif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian. Ia juga selaras dengan hasrat murni untuk menyokong pembangunan pendidikan tinggi negara, terutamanya bagi mahasiswa yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, ALUMNI MPPK menyeru semua syarikat penerbangan agar menyokong penuh inisiatif ini dengan menyediakan harga tiket yang lebih mesra mahasiswa. Diharapkan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket yang boleh mengurangkan impak positif subsidi yang diberikan oleh Kerajaan.

ALUMNI MPPK yakin bahawa inisiatif seperti FLYSiswa akan memberi kesan yang besar dalam meringankan beban mahasiswa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. Semoga usaha ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan demi manfaat semua pihak.

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (ALUMNI MPPK)

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts